BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 11, 2010

Sehari

11 februari 2010.

Tika suka bertaut rindu. Hati jadi sayu. Kerana ada rindu lain yang masih bertaut. Lara yang dikurnia Ilahi. Denyutnya jadi tanda. Ingatan yang kuat pada seru-Nya. Semakin dekat pada ilham-Nya.

Sehari di rumah. Ada lara yang tiba. Datangnya membawa nadi kepala berdenyut hebat. Sakit dan mengaduh. Jadi hibur pada lara duka. Tidak mengapa, ada hikmah dan segala. Panadol ditelan lalu lena. Dengan amalan doa Syifa’ seperti yang dipesan dalam novel ‘Doa Insan Berkasih’ karya Aminah Mokhtar, jadi ria penawar lara. Alhamdulillah, lega.

Sehari di rumah. Ke klinik di pagi hari. Begitu cita pada jiwa. Melihat dan mengenali. Aspek mata dan pandang. Bertemu di kamar sepi. Biarkan sepi itu bertaut. Bagi lena pada duri yang mencucuk. Dalam sepi itu pula, doa dan selawat tidak berhenti di mulut. Ada rahmatnya, sepi yang datang. Rindu semakin memuncak. Dengan huluran senyum. Senyum panjang yang lega. “rehat dan tenang”, titip kata Dr. Suhana. Dengan senyum panjang yang berbalas, tanda terima kasih dihulur.

Sehari yang masih belum habis. Di rumah dengan riuh suara si kecil. Meminta dakap dan dukung. Rindunya amat mendalam. Pada tubuh dan jiwa ini. Dibiarkan dia mendakap dan mengucup sepenuh hati. Terasa. Itulah penawar paling berkesan. Itulah penawar paling indah.

Sehari ini. Moga ada baiknya bersama. Insan tersayang sentiasa dalam dampingan. Dan, berlalulah segalanya dengan rasa suka dan gembira. Kepada Tuhan, tempat bergantung harap sukma. Cinta pada-Nya. Itu cinta abadi. cinta paling dekat dengan Ilahi. Amin.

hJ

0 lonjakan suara: