BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 21, 2009

Inai di Jari




susunan kata indah,
Dalam dakapan bibirmu,
Saat melafaz butir kasih nan romantis,
Aku menanti penuh debar,
Dan kau tersenyum sambil mengucapkannya,
‘aku sayang kamu, sudilah jadi milikku’

Inai di jari,
Tanda mekar kasih kita,
Semarak warnanya,
Begitu juga kasihku padamu,
Dan kita mengharap sentiasa bahagia,
Bersama terangnya warna inai di jari.

Tinta hJ 1205: 200509

Tahniah buat adik, Selamat Hari Jururawat!



12 Mei, Hari Jururawat. Adik sambutnya dengan hati yang besar. Meriah kerana baktinya menebar kepada yang memerlukan.
Tahniah adik, jasamu cukup membanggakan kami. Wajah-wajah suci kerap engkau temui dari ibu-ibu sejati. Kau tabah melayan rengekan anak kecil, sewaktu kau sambut dalam dakapan penuh riang.

Bertuah adik, memiliki rasa kelahiran walau engkau belum bergelar ibu. Rasa kesakitan hawa sering engkau lihat, sewaktu melahirkan. Dan engkau kini semakin dekat dengan rasa hormat pada ibu kita, yang melahirkan kakak, adik dan abang.

Selamat Hari Jururawat, kepada adik; JMP (Jururawat Masyarakat Pelatih) Hasniza binti Jamali. Bertugas di Hospital Kelantan, dan adakalanya beralih tempat di klinik-klinik desa, membantu ibu-ibu dan bakal-bakal ibu.
Tebarkanlah jasamu dengan ikhlas hatimu. Moga jasamu berbalas di Syurga abadi. Amin.
(rindu adik!)

Tinta hJ 1338; 200509

16 Mei, Bertemu Kembali





“Reunion”, murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang, Labis (tingkatan 3-5 ; 2002-2004). Kini nama sekolah kami bertukar kepada Sekolah Menegah Kebangsaan Kamarul Ariffin.

Kami bertemu kembali di restoran Uncle Sam. Di Labis, mungkin itu sahaja jadi kawasan tumpuan pilihan kawan-kawan. Aku ikutkan sahaja.

Walaupun tak ramai yang hadir, namun hati cukup puas bertemu mereka. Barisan yang sudi hadirkan diri seperti aku, Natasya, Azian, Faizie, Anum, Najib, Arip, Fitri, Ewa, Puad, Ayie dan Apek. Seronok berbual mengimbas kenangan di bangku sekolah. Dan sekarang, ada juga antara mereka yang sudah berumah tangga dan bakal berumah tangga. Anum sudah bersuami, dan Najib bakal melangsungkan perkahwinan mereka. Bestnya. Aku pula bila lah ya. Hmm…(berangan pula).

Azian sudah berkerja sebagai guru, dan hari itu kami meraikannya juga sebagai guru muda. Mulia tugasnya memberi didikan kepada anak-anak kurang upaya. Dan yang lainnya masih berlajar seperti aku, di Universiti-universiti di Malaysia ni. Moga-moga kita semua mendapat kejayaan bersama dan cemerlang ya!

Kasih ibu.



Seminggu berlalu sudah, di rumah menghabiskan masa cuti semester. Mahu bicara tentang kasih ibu, Mei yang dipenuhi kasih ibu. juga hari-hari dan bulan-bulan lainnya. Mei, khasnya kerana hari ibu disambut pada bulan ini.
Pulang ke rumah, seminggu ini juga aku didatangi sakit yang tidak mahu aku undang walau sekali pun. Hmm, sakit gigi. Aduh, parah rasanya! Makan dan aktiviti lain segalanya terbatas. Bila bicara, ramai yang anggap aku bermimikkan marah, mana tidaknya, bercakap sambil menggigit gigi. (bayangkanlah sendiri…)
Alhamdulillah, demi anak yang manja ni, (hehe…) ibu buatkan milo panas. Khas untuk insan yang tak pandai telan ubat macam aku ni. Hahah…sepupu aku yang baik hati pula, beri aku sebiji pil penahan sakit. Alhamdulillah, pil kapsul. Apa lagi, kapsulnya tinggal di luar, serbuknya bergaul mesra dengan milo panas tadi. Kacau…kacau…dan minum.
Syukur, lepas hari tu, bengkak di pipi mula susut. Dan mulut aku dan boleh menganga agak luas. (heheh…) tapi lambat juga aku boleh makan dengan sempurna. Yalah, sakitnya kuat. Tapi ubatnya sebiji je aku telan. Memangla proses penyembuhannya lambat.
Terima kasih emak, milo panas dan kasih emak. Buatkan sakitnya tidak terasa sangat. Kasih emak hingga syurga. Dan kini menanti Jun. Kasih ayah bertaut pada bulan ini. ya!

Monday, May 11, 2009

rindu bertaut lagi 9 mei 2009




9 Mei, ayah dan emak datang bersama Nissan merah. Ambil aku pulang. Bercuti di kampung. Selama 2 bulan ni, tulisan dalam blog tidak selalu di muat naik. Namun masih aku mahu ke kafe siber, mencari keselesaan untuk meluah kata-kata.

9 Mei juga aku menangis. Melatih diri untuk perpisahan yang bakal berlaku sekian lama nanti. Kakak-kakak tersayang, insan yang aku tangisi dengan air mata yang sangat berharga. Rinduku akan sentiasa untuk kalian, dan aku pasti kalian juga.

Cukup dengan panggilan suara dan bicara melalui mesej ringkas (sms).
Surat yang meluah kata cerita, aku tatap dengan penuh kasih. Sekali lagi air mata mengalir. Hanya untuk luahan rindu ini. hmm (seperti mahu keluar lagi). (terpaksa tahan, di kafe siber. Banyak mata yang memandang)

Kakak,

Puisi kemesraan itu amat bermakna. Dan saya juga mencurahkan luahan kata saya, dalam puisi “Mesra Yang Satu”…mahu juga judul MESRA saya guna. (tersenyum)

Tinta hJ 1400: 1105

Mesra Yang Satu

Kita dari tiga jasad,
Namun hati kita satu.

Kita dari tiga wajah,
Namun hati masih satu.

Kita dari pelbagai sikap,
Namun hati tetap satu,
Mesra kita bertiga,
Akan sentiasa satu.

Menjadi satu dalam setiap kemesraan yang lain.

Tinta hJ 1338: 1105

Friday, May 8, 2009

"Rindu Setia" cerpen insahJohana.



tersiar lagi,
karya ini hanya untuk percubaan,
tentang luahan kasih dan rindu.

silalah tatap cerpen 'Rindu Setia',
ulas tentang kasihnya,

di link ini: http://penulisan2u.blogspot.com/2009/05/cerpen-rindu-setia.html

'bunga selasih lengkuas kantan,
terima kasih seluas lautan.'

tinta hJ (insahJohana). 0912: 0705

penghargaan daripada teman yang sudi mengasihi.



terima kasih kak liza,
atas segala penghargaan yang diberi,
atas nilai persahabatan ini.

tahniah kak liza,
kerja di RTM sungguh-sungguh ya,
hasni selalu doakan yang terbaik buat kak liza.

selamat perkenalan kak liza,
semester 3 (2007/2008) kita bertemu,
dan tiada akhir pertemuan hingga ke hari ini, ya!.

kak liza sayang,
moga bakatmu terus berkembang,
dan kasihmu terus mekar,
untuk yang mengasihi kakak,
dan untuk yang kakak kasihi.

'bunga selasih lengkuas kantan,
terima kasih seluas lautan.'

tinta hJ untuk Kak Liza.

Tuesday, May 5, 2009

"hmm? "




Yuran kolej UKM naik

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bimbang dengan nasib mereka apabila pihak pengurusan kolej di universiti itu berhasrat untuk menaikkan yuran asrama daripada RM490 kepada RM600 bagi setiap semester bermula sesi depan.

Kenaikan yuran tersebut kini menjadi perbualan hangat di kalangan pelajar kerana mereka sudah dibebani dengan kenaikan yuran pengajian sejak tahun lalu.

Malah, kesan kenaikan yuran asrama itu akan turut dirasai oleh 4,000 hingga 5,000 pelajar baru yang dijangka memulakan pengajian mereka tidak lama lagi.

Kosmo! difahamkan, kenaikan yuran asrama itu melibatkan lapan buah kolej kediaman iaitu Kolej Ibrahim Yaakub, Datuk Onn, Aminuddin Baki, Ungku Omar, Burhanuddin Helmi, Rahim Kajai, Ibu Zain, Idris Al Marbawi, Tun Syed Nasir, Tun Dr. Ismail dan Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, pelajar yang menginap di dua buah kolej lagi iaitu Kolej Za'ba dan Keris Mas bakal menikmati penurunan yuran sebanyak RM90 ekoran penyelarasan yuran yang dilaksanakan oleh UKM.

Salah seorang pelajar fakulti undang-undang universiti itu yang cuma mahu dikenali sebagai Munirah mempersoalkan kenaikan yuran tersebut kerana mutu perkhidmatan yang disediakan kepada pelajar masih rendah.

"Kalau dilihat dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan Internet masih lagi mengecewakan pelajar di sini. Kalau nak naikkan yuran pun kena pastikan semua itu dipenuhi dahulu baru pelajar tidak akan mempersoalkan kenaikan ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, kesan kenaikan yuran pengajian pada tahun lalu masih lagi dirasai oleh kebanyakan pelajar dan ditambah lagi dengan bebanan baru ini menyebabkan ramai pelajar merungut.

"Tahun lepas pelajar baru kena bayar yuran pengajian sebanyak RM750 untuk satu semester berbanding sebelum ini cuma RM550. Sekarang nak naik lagi, saya yakin ramai yang akan pening kepada," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang cuma ingin dikenali sebagai Faizal meminta pihak pengurusan universiti mempertimbangkan semula kenaikan tersebut ekoran kemelesetan ekonomi dunia yang turut melanda negara ini.

"Saya merayu kepada pihak universiti pertimbangkan keputusan yang bakal dilaksanakan itu. Kalau boleh kami juga ingin tahu perincian sebenar yuran yang dibayar pada setiap semester supaya ada ketelusan di antara pelajar dan pihak pengurusan universiti,'' katanya.

p/s: Apa komen anda sebagai mahasiswa/i UKM?

Saturday, May 2, 2009



"kenapa perlu nak sorok, kalau dah suka?"

"tak nak lah. Eh, jom gi makan aiskrim."

"hmm, pandai tukar topik ea! ish, kat mana nak beli aiskrim malam-malam ni?"

"Alah, jomlah. ikut je. hehe, jangan marah. kau kayuh eak. luka ni tak baik lagi."

"ish, ada-ada je. dah cepat naik."

***********

"terima kasih teman aku makan aiskrim semalam. lain kali aku pula yang belanja kau, okey!?"

"Okey. hmm, dah tahu nak makan aiskrim, duit satu sen pun kau tak bawa. apa nak jadi?"

"jadi macam ni lah. hehehe, alah jangan lah marah. nanti bila kaki aku dah sembuh, aku bawa kau pusing satu kampung ni. okey!?"

"yelah tu..."

"iye, aku janji. senyum sikit."

'hmmm...'

************
"Asalamualaikum, buat apa tu?"

"wasalam. saja termenung. awal kau sampai?"

"hehe, perli nampak. kaki kau dah baik ke?"

"kenapa? tak sabar nak aku kayuh basikal? bawa kau pusing-pusing."

"eh, macam tau-tau je."

"Jom!"

"Eh, betul ke kau dah okey ni. karang tak pasal-pasal tergolek jatuh basikal."

"okey dah. balut ni buat syarat je. jomlah."

"Kak Long kau mana? nanti dia marah. tak nak la aku."

"alah, cepat la. Kak Long kat dapur tolong ibu masak. dia tak nampak. jom cepat."

"Okey. duk depan ke belakang?hehehe..."

"duk belakang la. macam tak biasa je. saje la tu nak ngada-ngada."

"Aku gurau je."

"hmm, berat juga kau ye."

"heheh, tengok perut la beb. hahaha. Eh, stop stop! darah....."

**************
"untuk yang tersayang konon. pastu, Kak Long juga yang tukang rawat kau. Mana sayang kau tu, Hanna? Ish."

"aduh, perlahan-lahan la Kak Long. sakit."

"Tau pun sakit. masa nak kayuh tu......."

"terima kasih Kak Long. Hanna sayang Kak Long."

"sesama! tersengih-sengih. berangan la tu. hmm,"


tinta hJ 2333:0205

kasih hijau abadi di hati.




segalanya hijau,
mesra alam,
mesra kasihku juga.

dan hijau itu,
penguat segala kasih,
bermula dari yang kasih,
berakhir kepada yang mengasihi.

hijau,
abadi di hati.

tinta hJ 2241:0205

Friday, May 1, 2009

'terima kasih sahabat'





"Hanna, Mak Su faham perasaan Hanna. Walau seburuk mana pun perlakuan teman Hanna pada Hanna, jangan sesekali membencinya. Ingat kembali saat-saat dia bersama Hanna ketika Hanna dalam kesusahan dulu." Lembut tangan Mak Su membelai rambutku bersama nasihatnya yang penuh kasih itu.

"Tapi Mak Su. Hanna tak pernah sangka dia boleh buat Hanna macam ni. Sanggup dia membuat perlakuan menonjol kepala Hanna dari belakang. Dia juga mengajuk-ajuk percakapan dan perlakuan Hanna masa dalam kelas hari tu. Hanna..." aku menangis. memang aku tak pernah sangka akan perbuatannya itu. Episod luka aku bersama teman yang pernah aku gelar sahabat seakan-akan mahu hancur tika ini.

Dalam dakapan Mak Su, aku ditenangkan."Hanna, dengar cakap Mak Su ni. Biar orang buat kita, tapi jangan sesekali kita membalasnya. Dan jangan pernah ada perasaan benci pada dia. Kita hanya manusia biasa, Hanna. Ingat, kita masih punya Tuhan untuk kita sayang dan kepada-NYA kita mengadu. Jangan pernah ada dendam padanya. Biarlah, apa-apa pun yang teman Hanna itu mahu lakukan pada Hanna. Apa-apa yang penting sekarang, Hanna mesti tabah, dan jadikan ia suatu pengajaran. Ya."

"Mak Su." dalam sendu yang sekejap. Aku masih tidak mahu percaya akan perlakuannya. sahabat itu pernah aku sayang. sahabat itu pernah aku percaya seratus peratus. sahabat itu segala-galanya. tapi sekarang. hari itu, kejadian yang membuatkan aku sedar akan sikapnya. selama ini, kawan-kawan yang lain katakan padaku akan buruknya sikap teman itu padaku yang sering dilakukan di belakangku. namun, sukar ingin aku percaya. Dan kini terbukti, memang itu realitinya. aku bertegur sapa dengannya sewaktu berselisih di sebuah restoran. aku datang dan menyapanya. dia bersama seorang kawan yang lain. aku mempelawa seorang kawan itu, tentang sesuatu. akhirnya, dia bersuara setelah lama menyepi termasuklah pertanyaan khabarku padanya. namun nada suaranya tinggi, dan aku berlalu pergi dengan hanya melambai salam kepada kawan yang bersama dengannya. aku membawa hati yang hampa. teringat aku akan kata-kata seorang sahabatku yang lain, "Itulah Hanna, depan awak dia tu pijak semut pun tak mati!"

"Sudahlah Hanna. air mata ini, simpan untuk sesuatu yang berharga. sudah ya. yang pentig sekarang, Hanna buat baik dengan semua orang. Biarlah kepada kawan-kawan yang tidak sukakan Hanna tu. Hanna berkawan dan bersahabat dengan mereka yang mahu dan sayangkan Hanna. Ya!" Senyuman Mak Su menyejukkan hatiku yang sememangnya panas sebentar tadi.

"Terima kasih Mak Su. Akan Hanna pegang dan amalkan pesanan Mak Su itu." Gundahku disapu lembut jemari Mak Su. Hilang air mata duka itu. Aku berlalu dalam pimpinan Mak Su. kata hatiku masih ingin bersuara,

'terima kasih sahabatku. moga dirimu disenangi semua orang di sekelilingimu. dan tidak pula ada insan lain yang membuat kepadamu seperti engkau perlakukan padaku. amin.'

tinta hJ 2449: 0105