"janganlah macam ni, saya janji tak buat lagi. hmm, jom saya belanja ais krim kegemaran awak. Aiskrim jagung, ya..." Dia memegang telinganya. Berjanji sayang. Sengaja saya memaling wajah ke belakang. Lalu tergelak kecil. Comel rasa wajahnya.
"hmm, tak mahu." Saya sekali lagi mengulang perkataan 'tak' kepadanya. Hahaha, biar dia rasa.
walau kesalahannya tidaklah sebesar mana pun. Sengaja mahu bergurau dengannya.
"Sayang..." terpegun rasa hati. Pantas saja jemari sasanya memeluk tubuh saya dari belakang. Perlahan-lahan sekuntum bunga lili putih keluar dari celahan jarinya. Saya pula terkesima. Cepat saja layu dalam lakuannya itu. Silap mata digunakan.
"Ha, macam nilah. Senyummu...." Saya mematikan bicaranya. Sengaja. Dia juga tersenyum. Kami beriringan mengorak langkah. Saya tak mahu dipuji. Saya hanya mahu dia tahu kenyataannya begitu.
Thursday, November 27, 2008
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 4:13 PM 0 lonjakan suara
Alhamdulillah, satu novel saya jamah sudah tubuhnya hingga khatam. Maklumlah, saya memang bukan kaki novel, tapi sengaja mahu hati dan otak ini belajar membacanya, seronok pula. Sekarang dan hingga habis cuti semester ini, insyaAllah akan saya habiskan membaca novel-novel yang dikumpul adik. sememangnya dia amat saya kagum. Membaca tak pernah henti. Setebal 500 halaman sangat mudah dihabiskan... salut kat adik!!! sekali sekala, bahasa pasar...heheh...
hmm, sekarang mahu kembali berfantasi dengan novel-novel sekalian......novel lama di dahului ya.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 3:23 PM 2 lonjakan suara
Friday, November 21, 2008
kepulanGan yang dinanti...
hmm...petikan gitar bergetar merdu, alunan indah bergema kembali, kasih yang pulang dinanti, bersama harum mekar bunga-bunga di taman, subur mewangi.
seketika bernyanyi hibur, lagu kasih sejati di hati, memanggil wajah yang dirindu, datanglah segera, datanglah...
salam bersambut mesra, senyuman indah terukir berseri, cahayanya masih ada, bersama petikan gitar dan alunan bait-bait kata, mesra, cantik, romantis.
malam kini semakin bersinar, diterangi nur dia, kasihku, kepulangan yang dinanti.
(hasni Jamali, 21/11/08, k4N 205)
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 9:21 AM 0 lonjakan suara
Thursday, November 20, 2008
20 november 2008, khamis....
Sendirian membawa diri di Tingkat 5 PTSL...UKM...
sejenak melihat telatah mahasiswa bestari, mata ini tidak henti melilau, al-maklumlah tika bersendirian, tiada teman bual, itu saja sudah cukup menghiburkan.
Ditemani pula kanda sahabat (abang zul) di ruang kamar bual, berbicara soal hati dan teman-teman, berbahasa indah dan puji segala, terasa saja bukan sendiri di meja kosong ini.
di kiri dan kanan meja, duduknya bakal-bakal sarjana, membilang aksara dan menghitung papan kunci komputer riba, masing-masing sibuk dengan tugasan ilmiah (tesis), hanya saya terkerisin sendiri, tatkala menatap sang kekasih di ruang maya (you tube)...haal-e-dil judulnya, ya...keadaan hati (maksud haal-e-dil)..
indah dan seronok, walau sendiri. thanks abg zul teman saya berbicara. terima kasih juga komputer riba hijau saya.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 5:21 PM 0 lonjakan suara
Cinta Gila!
Diam! sukmaku menjerit. Memberontak. "Mengapa, sayanG?" katanya lembut.
'Aku kata diam, diam lah...tak faham ke?' sekali lagi kalbuku menjerit ronta. Dia pergi mendengus. Aku renung lenggoknya dengan mata tajam. Kasar sekali.
Apa erti cinta padanya? Mengapa aku dijadikan sebegini. Tidak cukupkah dengan kesetiaan yang aku beri selama ini? Kasih dan sayng tulus aku tampilkan dari hati ini. Hanya untukmu sayang. Ah, Sayang?! Ini bukan sayang namanya. Aku tidak pernah sesal dengan keputusan yang aku lakukan hanya untuk bersamamu....Namun sekarang....."Hei, lepaskan aku! Walau hingga ke akhirat, aku tetap bukan milikmu. Lepaskan aku...!!!"
Dia datang dalam lagaknya. Tajam matanya merenung setiap gerak lakuku yang resah. Aku mahu dilepaskan. Sebilah pisau dipegang kemas. "Ya, lepaskan aku. Jangan seksa aku begini lagi. Aku tidak akan menduakanmu, lagi....." Salah aku juga. Bernafsu lebih dari satu. Ah, cinta aku bukan kerana nafsu. Aku sayang. Apa salahnya.
Matanya tajam lagi. Sebilah pisau itu, perlahan-lahan memutuskan tali-temali yang mengikat tubuhku. Sebelah tangan terlepas ikatan. Aku berwajah harap. Ya, dia memutuskan temali kesemuanya. Syukur. Dia berisyarat. Langkahku sedikit kekok kerana kejang dalam satu posisi.
"Kau kejam! Walau seribu janjimu, aku tidak akan pernah percaya lagi. Pergi kau, nyah dari hidup aku. Pergi!" Dia memekik. Sambil tangan mengetuk-ngetuk mata pisau yang tajam. Merah mengalir. Aku kaget. Ah, peduli apa aku. Lari saja. Dia sudah gila. Namun, langkahku kaku, dia memekik lagi.
"Nanti! Nah! Pergi kau selama-lamanya!" Laju tangannya yang memegang pisau melontar tepat ke dadaku. Ah, tertusuk ke jantung. Degup jatuh, aku rebah. Tiada nyawa. Dia juga, mencarik-carik dadanya, kemudian cerita.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:46 PM 0 lonjakan suara
Tuesday, November 18, 2008
Puisi Saya dan Sepi
Oleh: hasni Jamali
saya datang dalam sepi,
saya pergi dalam sepi,
sunyi tidak pernah lari,
namun sering menghantui.
setiap kali kaki melangkah,
hati debar beriringan gagah,
meyakinkan jiwa supaya tabah,
jangan kaku dan pula rebah.
dalam meniti senja,
di tengah lautan jiwa,
terpampang bait-bait manja,
disaksi sukma bayu remaja,
hati merunduk walau ada sekelumit teruja.
Anak-anak bangsa,
kini mula dewasa,
tidak lagi perlu ayah dan ibu di desa,
kononya sudah punya kuasa,
mentadbir diri nan perkasa.
kudrat terus membelah malam,
saya tersaksi dua potong tubuh di lorong kelam,
bercengkerama tanpa seram,
oleh dosa dan neraka jahanam.
sepi saya kembali,
melihat anak-anak bangsa tiada harmoni,
terlanjur sana tergadai sini,
hanya dengan izin sendiri,
tanpa rasa harga diri,
menjadi habuan dengan sudi.
saya datang dalam sepi,
saya pergi dalam sepi,
bersama hikayat cinta rugi,
namun indah bersama sunyi.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:26 AM 4 lonjakan suara
Monday, November 17, 2008
Alhamdulillah, hari ini hati saya disapa bayu indah....harum. semoga ianya berkekalan begini. Ya, cerpen saya tersiar di salah satu web blog penulisan. Alhadulillah. Hasilnya, saya semakin bersemangat untuk terus menulis dan meyampaikan seberapa ilmu yang saya ada dalam penulisan. Saya juga akan mengasah dan menajamkan lagi bait-bait bicara, untuk penulisan yang lain nanti. Alhamdulillah, Ya Allah. Aku bersyukur, berkat kesabaranku pada malam semalam, hari ini engkau kurnia kan dengan berita gembira ini. Amin.....Tahniah, hasni Jamali.
kepada sahabat yang mahu dan sudi menyapa tulisan saya silalah ke http://penulisan2u.blogspot.com/2008/11/cerpen-tragis-sebuah-pemergian.html
thanks all.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:44 AM 2 lonjakan suara
Sunday, November 16, 2008
DUit...mOney...paIsa...wanG...
segala-Galanya memerlUkan dia...payahnya tanPa dia...hari-hari mahu berSuap, meSti ada dia...tanPa dia, kita muLa merusuH...tanpA dia sesuaP hari ini terpakSa ditunDa...naTijahnya, kerinG, gusaR, amArah...buKan tAk maHu berSyukuR...tapI eMosi terleBih-leBih kerana Perlunya dia...keluh, keSah...uSaha bermacam...munGkin Belum sampaI wakTu...menIkmati yang Biru dan beranGka lebIh dari tiGa...tiGa, Empat dan rakan-rakan yang Lain...suKarnya...
mahu atasi, dia kuat...pengaruh hati, hasut emosi...jiwa baGai diLambung-lambunG...maHu itu dia, mahu ini dia...semuanya mesti ada dia...tanPa dia, meloponG dan terngaGalah kita....
Ya, hasiLnya...luahan ini buat dia...empat raKan yang saya Jumpa di atas... en.D, puan M, miss P dan CIk W.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:00 PM 0 lonjakan suara
petikan daripada cerpen 'Tanda-tanda Akhir' karya Mohd Nasron Sira Rahim...
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.” Firman Allah itu dibaca lambat bagi diperdengarkan di hadapan tetamu itu. Selesai baca, lelaki itu memandang ke arahnya dengan seribu tanda-tanya. Dia diam, lelaki itu juga terdiam.
“Solat itulah titik tolak dalam kehidupan manusia, solat itulah jawapan dan formula terbaik dalam menangani pelbagai kecelaruan dan kebejatan sosial masyarakat. Jika solat ditunaikan dan dihayati, pasti masalah sosial masyarakat, mat rempit, dadah, seks luar nikah, rasuah dan jenayah mampu diatasi,” dia menarik nafas sebelum menghembus perlahan.
“Begitu juga ayat-ayat seterusnya, ayat ketiga misalnya menerangkan kunci kebahagiaan manusia iaitu selalu menjaga waktu dan umurnya supaya jangan sia-sia, sentiasa mencari pahala dan mengelak dosa.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:41 AM 0 lonjakan suara
Saturday, November 15, 2008
mulanya sebuah kisah.... cakna puteri dan puteri jua....merebut kasih yang tiada bersudah....menjadi hamba dan mangsa.....sehingga tercipta tinta hikayat.....wahai Sia wahai Tia...... merenung kelopak mawar, menghidu pawana.....harum mekar, merah menyala.....dihitung purnama datang bersilih.....membenak racun atau penawar.....Ya, kisah bermula.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:07 AM 11 lonjakan suara
Friday, November 14, 2008
sebentar tadi sempat saya berbicara dengan kanda saudara. saudara angkat saya. Dukanya terluah, ibunya sakit dan akan dihantar ke hospital JB. "Abang, has harap abang tabah. Has di sini doa moga semuanya dalam lindungan Allah. Abang juga banyakkan doa, ya!."
sahabat dan pengunjung semua, mari kita berdoa agar ibu abang selamat dalam kesakitan yang ditanggung. amin....
"Abang, tabah ya. Badai ini tidak selalu hadir, datangnya dari Allah yang mahu menguji hamba kesayangan-NYA...."
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:01 PM 0 lonjakan suara
Usai khatam semuanya.
Masih gabra....
Berbaur soalan dan gentar.
Ha, rasa tergadai prinsip tenang.
Tarik nafas dalam, hembus....yah!
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:05 AM 4 lonjakan suara
Wednesday, November 12, 2008
Mengapa semakin kita ingin melupakan, semakin dekat ia datang...?
Mengapa semakin jauh kita lari, semakin pantas ia mengejar...?
Hari ini sekali lagi saya menatap 'Tragis Sebuah Pemergian'. Pilu itu saya rasa sendiri. Sengaja saya biarkan diri ini dibalut kesedihan Sara. Tika nur membawa berita gembira, Emir pula ditimpa bahana. Nek Suya pergi dalam sayu. Ya, emosinya jelas tergambar dengan air mata yang jatuh tidak henti.
Mengapa saya yang lebih pilunya? sedangkan ini hanya cereka saya....
kata teman, "bukankah setiap penulisan kamu, datangnya dari hati juga."
bicara saya, "Ya, mungkin itu saya juga disimbah kehampaan. Hampa dihempap kesedihan plot cereka ini."
kata teman lagi, "Sudah kamu pilih itu penghujungnya, biarkan ia dilalui watak-watak cereka itu dengan penuh hikmahnya, ya. Mereka sudah terima seadanya."
tanpa saya bicara apa-apa, hanya hati mengukir senyum dengan bisikan lembut teman itu. Dia seperti membawa saya kepada cereka itu ke alam realiti. Seperti wujudnya watak Emir, Sara dan Nek Suya. Saya hanya menggubah satu jalan cerita. "Tragis Sebuah Pemergian."
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 9:04 PM 4 lonjakan suara
Tuesday, November 11, 2008
hi,
hmm...kembali seperti biasa. Minggu peperiksaan. Biasanya pelajar atau murid atau lebih besar lagi mahasiswa, atau juga para sarjana. Apa-apa jua, semua gelaran itu membawa kita kepada satu titik hebat perdebatan. Bukan debat biasa, tetapi debat antara ilmu dan tuntutannya. Ulangkaji dan belajar tersisip rapi dalam benak masing-masing.
Begitu juga saya. Namun apa-apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, pada setiap menjelangnya hari peperiksaan, jiwa saya akan terarah kepada sesuatu yang berlainan. Yang lain itu bukan pelik sangat pun. Hanya meluangkan masa dengan permainan video, membaca (yang jarang dilakukan ketika bukan minggu peperiksaan), dan bersenda dalam lena (bermimpi indah).
Saya akui, menelaah juga menjadi rutin. Tetapi hanya dalam waktu yang singkat. Pandangan sekeliling menganggap saya 'relax'...namun hati saya juga turut berdebar ketika kaki menjejak ke dalam dewan peperiksaan. Hmm, tidak kurang juga menggeletar, terketar dek kesejukan air-cond...heheh....
namun apa pun saya harapkan...keputusan peperiksaan sentiasa yang terbaik. Prinsip saya, 'Sentiasa tenang, yang penting segalanya adalah terbaik.' Ya! InsyaAllah...
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:15 PM 6 lonjakan suara
Monday, November 10, 2008
salam buat diri saya, dan teman.
Saya mahu melakar sedikit kisah di sini. Seperti teman saya, uyaisha. Saya juga mahu bangkit dari kisah kasih ini. Puas sudah saya menagih kasih, entah pada siapa gerangannya. Entah sudinya tidak, belum saya mengerti. Hari-hari kebelakangan ini, saya sering menutur kisah kasih, namun ianya tetap sama. Situasi saya begini juga. Masih diulit maya. Letih menyeksa diri, dengan kepalsuan realiti. Saya mahu bangkit. Biarlah puisi dan kata-kata saya hanya untuk maya. Saya begini seperti sedia adanya. Tidak mahu lagi berharap dan resah menanti kisah kasih yang entah bila kan tiba penhujungnya.
Semangat hidup teruskan dengan ceria dan baur duka. Biar duka itu kerana keindahan bukan kerana dosa dan yang lain itu. Bangkit dan ikrar pada diri. Ya!
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 1:47 PM 10 lonjakan suara
Mei 2005, nenda pergi dalam dakapan saya, benar-benar di hadapan mata. Saya di hujung kakinya, mengulang surah Yassin. Namun dia pergi jua dijemput Ilahi. Saya reda. Saya rindu padanya. Malam semalam, mata saya basah, mimpi bertemunya mengundang air mata saya. Dalam mimpi saya mencium pipinya, erat dakapan saya, namun nenda hanya memandang tanpa kata. Saya faham. Saya sedar dalam linangan air mata jua. Tika mahu berpuisi siang nanti, kesedihan berbaur suka ini saya terima dengan hati terbuka. Walau hari ini saya sedikit diam. Sepi seketika. Nenda, along doa baik-baik buat nenda. Semoga kita akan bertemu di Firdausi sana. Ya, nenda.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 1:35 PM 3 lonjakan suara
Sunday, November 9, 2008
Dingin angin berpuput lembut,
menyapa tubuh yang basah dek siraman hujan,
dari atas rambut hingga jari hujung,
sejuk dan damai,
bersatu membelai jiwa.
sambil menutup mata,
menarik dan menghela nafas yang panjang,
disaksi langit biru,
dilihat awan putih,
mendung sirna dibawa bayu.
Dingin,
hambusan parwana,
sejuk tubuh,
jangan biar kaku,
berteduh sebentar di kuku langit.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 6:27 PM 1 lonjakan suara
kata teman, jika aku pemaisurinya, apa pula gelaran dia di hatiku? katanya lagi, jika aku bukan miliknya, pada siapa pula dia ingin memiliki? aku bingung, tanpa kata. aku biarkan dia berbicara. katanya, jika aku tiada, ke mana dia akan bawa haluan? seraya itu dia memegang hujung lengan bajuku. Aku yang sedang sibuk menyelak helai-helai akhbar berhenti seketika. Mendongak tepat ke arah matanya, kataku pula, "Jangan ditanya tentang 'jika'...Biar saja 'jika' itu berlalu dengan setiap persoalan kamu. Ya?" Kedutan pada dahinya jelas menunjukkan keanehan yang dirasa. "Mengapa?" seraya itu aku menjawab, "Kerana, hidup kita hanya sementara. Entah esok akan ada buat kita. Siapa tahu. Jadi kita lakukan saja apa-apa yang kita rasa baik dan selamat untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Ya?"
Dia senyum. Aku pula yang rasa semacam. Katanya, "Maka itu, 'jika' saya tidak salah kerana saya hanya ingin tahu isi hatimu. Biar saya tenang dengan jawapan kamu. Entah esok akan ada buat saya dan dirimu juga."
Senyum. Aku berlalu dalam lenggokan hawa. Dia pula tersengih lebar. Bisikan hati ini, "Andai itu yang diminta, ya. Aku mahu." Tika itu juga aku dengar laungannya. Riang dan hebat bergema, "Hey, aku sudah tahu jawapannya! Terima kasih. Kita jumpa lagi, ya!"
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 1:40 PM 2 lonjakan suara
Saturday, November 8, 2008
bagaimana ya, mahu saya ungkapkan...semalam dalam gelap, saya sendiri. resah mahu lena. biasanya sinar lampu meja menemani, namun ada kekangan dari situ. saya gagahkan semangat untuk lena jua.
dalam lena, saya berlayar jauh dari alam realiti. bahtera saya semakin jauh di segara sana. tenang, hanyut dalam mimpi. sangat enak mimpi itu. saya suka. syukur saya panjatkan pada Ilahi. adakalanya, kita suka membuat andaian bahawa mimpi lagi enak pada kisah sebenarnya. ya?
saya mimpi dikasihi dia. Famili bahagia, jua seluruh teman ciptaan saya. Dingin malam itu saya kawal sepenuhnya. Bahagia. Dan gelap malam itu saya terima baik hingga ke subuh. Saya terjaga dengan senyum. Hmmm...mahu bermimpi hari-hari seperti itu.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:23 PM 4 lonjakan suara
salam,
hari ini entah bagaimana ramai sangat yang mohon panduan dan nasihat. hmm...terasa diri ini perlu banyak mencari dan menimba, ilmu juga pengalaman. akal juga perlu diasah lebih tajam supaya sasaran kata-kata sentiasa tepat panahannya. tidak salah saya melantik diri sebegitu. tentang kasih, nasihat itu paling banyak yang diminta. sedangkan saya pula, yang masih mencari dan menanti kasih itu. harap-harap nasihat saya kepada rakan-rakan sekalian menjadi, ya.
tQ!
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 2:50 PM 4 lonjakan suara
Saat dia mula bertatih, aku sering menadah tangan, hatiku berkata, "sambutlah tangan ini, sayang..." Saat itu jua dia berlalu. Tidak sekali dia menoleh ke arahku. "Mengapa?" bentak hatiku. Tika aku lihat dia bersendirian, aku datang menghampirinya. Mataku tepat memandang ke anak matanya meminta simpati, "Dakaplah aku. Akan hilang sunyimu." Lalu dia pergi dan tidak jua menoleh. "Mengapa?" Aku hanya tersandar sepi di situ, cuba menahan air mata. Namun, ia tetap gugur juga. Aku hanya kiam membatu. Patah hati. Dia juga berjalan dalam sepi. Sonder mahu menoleh. Aku turut berpaling. Terus melangkah mecari sinar. Dia, kulihat hilang dalam gelap. Seketika, aku memandang ke hadapan. Aku temu suatu sinar terang. Sangat riang sinar itu. Sinar itu mengejar bayangku...... "Mengapa dia berkejar ke arahku?" Laju saja dakapan hangatnya membelai tubuhku yang terasa longlai.. Aku bingung. Tidak mengerti situasi itu. Namun hangat air matanya terasa dingin membasahi wajahku. Aku senyum dan riang. "Lihat, sinar itu bertambah riang riaknya." Aku cuba mengalih pandangannya. Sekali lagi hampa. Dia terus membisu dan hanya raungannya kudengar. "Mengapa?" Persoalan yang sama. Dia enggan dengar aku.
Lantaran itu, aku bangkit dari dakapannya. Patah hati lagi. Terasa ringan. Aku bungkam. Dalam dakapannya, terlihat aku yang kaku namun masih tersenyum. Dia setia dengan air matanya. Bukan aku....
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:12 AM 5 lonjakan suara
Tuesday, November 4, 2008
Roti, santapan malam hari saya. Kebelakangan ini daun rezeki saya tidak seberapa banyak. Alhamdulillah, masih ada baki-baki gerincing yang boleh saya tukar dengan rezeki ini.
Hmm, tidak sekali saya mahu merungut apatah lagi menyesal. Menjadi perantau begini memang seronok. Bila lagi mahu berdiet. Itu kata hati saya.
Apa-apa pun syukur yang tinggi saya panjatkan pada Ilahi, kerana memberi saya masa untuk berasa insaf dan rendah hati.
Tidak mahu saya menjadi bongkak dengan hari-hari disuap yang enak, hingga berat mengingati-NYA. Nauzubillah!
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 7:16 PM 9 lonjakan suara
Monday, November 3, 2008
ada kalanya, ini menjadi kegemaran saya. Berlumba di gelanggang siber dalam 'Need for Speed: Most Wanted.' Kini, sudah di tahap ke-7 dari 15 peserta. Jika geram terbuku, akan saya lepaskan dengan menghentam kesemua kereta polis yang datang. Lagi pula "Most Wanted", habis berkecai seribu satu kereta polis yang cuba menghalang lumba haram saya dan lawan di gelanggang siber.
Segala teknik pemanduan saya sangat diteliti, begitu juga dengan persembahan dan alatan kelengkapan yang sepatutnya, agar kereta meluncur laju. Dan memenangi banyak wang dan habuan lain. Hebat!
Ada sesiapa yang mahu memasuki gelanggang bersama saya!?
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:57 PM 2 lonjakan suara
Sunday, November 2, 2008
hanya Maya! (II)
"Hanna, mengapa bermenung di jendela itu?" Saya kiam. Tidak berpaling. Lama juga Kak Eira tercegat di muka pintu kamar. Sengaja saya begitu. Kak Eira merapati tubuh kaku ini yang sejak tadi merenung sangkar terkukur. Nyanyian terkukur yang asyik mendendang keroncong bersama pasangannya. Saya tersentak. Pantas saja tangan lembut Kak Eira mendakap saya dari belakang. Senyum saya disambut jua lirik usikannya.
"Hanna rindu pada abang Johan, Kak Eira. Seminggu sudah dia di sana. Kerjanya masih berbaki banyak. Sepertinya lama lagi mahu pulang." Saya sedikit mengeluh. Helaan nafas perlahan. Kak Eira saya pandang dari sisi cuma. Dia terkerisin. Cuba mengusik saya.
"Sabarlah, sayang. Dua tiga minggu lagi pulang juga abang sayang Hanna. Hmm..mari." Kak Hanna menarik tubuh saya daripada terus melekat di tepian siku-siku jendela. "Kita solat dahulu ya. Selepas ini, Hanna boleh sambung semula Umbara Cinta itu." Saya menuruti langkah Kak Eira ke kamar ibadah. Ramai sudah menanti. Mak Kiah berhati mulia menghulur pakaian ibadah kepada saya. Sonder gerak bibir terakhir. Hanya itu saya mampu. Bungkam.
Usai bacaan doa akhir, saya masih lagi bugkam. Bingung umpama jam dinding kehabisan bateri. Tiada detik-detaknya, walau terasa nadi masih berdenyut. Ibu beranjak ke saf belakang di mana duduknya saya. Jemari yang hampir hilang kesan merah henna ini disapa halus. "Kasihan anak ibu ini. Hanna, jangan dibawa layar rindu kamu ke tengah lautan. Ibu risau kamu akan tenggelam dan lemas. Biarlah bahtera di segara sana berlabuh tepat pada masa. Akan pulang juga dia ke dermaga kasihnya." Saya hanya melentok sayup di riba ibu. Usapan lembut ibu meresap ke ubun-ubun juga seluruh tubuh. Damai saya rasa. Walau unggun masih membara rindu saya, namun usapan kasih ibu penawar segalanya.
Saya lena akhirnya dalam usapan rindu ini.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:35 AM 7 lonjakan suara
Saturday, November 1, 2008
begitulah tafsirannya, keadaan hati.
hati ini sedikit resah, dia kembali menyunting. dia aksara ke-10. benarkah kamu?
hati ini sedikit bimbang, tika ini hadirnya pula.
aAhhhH...apa ini? Mengapa? apa sebenarnya yang mahu kau ungkapkan?
Tenang, ya. Akan datang juga penyelesaiannya nanti.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:22 PM 1 lonjakan suara