BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 23, 2010

23 yang indah.

Alhamdulillah, Allah masih beri saya peluang untuk menghirup nafas segar alam. Syukur, saya masih berada di dunia pada usia 23 tahun. Moga kehidupan yang mendatang semakin diberkati Allah. Amin.

Bermula detik jam 12 dan datangnya 22hb Januari 2010, kakak memanggil dari talian brunei. Maaf, adik sedikit keletihan dan mengantuk. Mungkin layanan yang diberi kurang selesa pada pendengaran kakak. Entah kenapa mata sangat mengantuk, dan rasa mahu lena yang mengganggu ruang fikiran. Terima kasih kepada kakak, yang sudi bertahan dengan karenah adikmu ini. Walaupun adakalanya, merajuk menguasai kita, namun bebaskannya dengan segala kemaafan, dan memahami kelemahan insan lain. Sayang kakak.

tiba-tiba pintu bilik diketuk, Kak Nana dan Syikin datang dan menghulurkan burger ayam sebagai jamuan malam hari lahir. terima kasih kalian.

Kemudian, diiringi segala pesanan ringkas, daripada ayah, mak, adik-adik, sepupu dan rakan-rakan sekalian (seperti tulis ucapan alu-aluan pula)…Terima kasih kalian yang tidak putus-putus mendoakan saya bersama ucapan hari lahir yang dikirim. Tidak tinggal juga ucapan yang dikirim oleh famili dari Brunei (keluarga Boboy, Atiqah, Kak DIDI, Kak Rayda, Kak Hajah ROzi, dan adik-adik di fb) Terima kasih kalian. Rindu mahu pulang ke sana.



Tidak habis deringan telefon, facebook memainkan peranan. Kiriman ucapan hari lahir juga tersiar di sana. Rakan-rakan jauh dan dekat, yang lama dan yang baru sama-sama menghargai saya dengan ucapan kalian. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kerana segala yang lahir dari hati anda merupakan doa untuk saya terus maju melangkah masa depan.

Di facebook juga, kiriman ucapan daripada editor, penulis dan pensyarah turut meraikan suasana hari lahir saya. Terima kasih Kak Sally (Salina Ibrahim), Kak Jas (Siti Jasmina Ibrahim), Mbak Anggie D.WIdowati (penulis Indonesia) dan En.Zubir Idris. Ucapan doa kalian akan terpahat di hati ini, dan berusaha untuk terus maju.

Hari lahir saya disambut sederhana, tidak pernah sebelum ini membuat apa-apa majlis atau ‘Party’. Keluarga saya mengajar kami hidup bersederhana. Biasanya, apabila menyambut hari lahir di rumah, cukuplah sekadar ibu dan ayah mengucapkannya, adik-adik juga mengucapkan selamat hari lahir, lalu kami bersalam-salaman. Hadiah? Tidak penting bagi kami, kerana hadiah paling besar ialah doa. Dan sedikit jamuan makan antara keluarga diadakan (biasanya lauk-lauk yang dimakan sehari-harian juga). Syukur ke hadrat Ilahi, mengurniakan saya famili bahagia ini. Moga kami terus kekal di landasan-Mu Ya Tuhan. Amin.

Hidup di kampus pula, berkat punya kawan-kawan yang baik, hari lahir ini disambut dengan kek dan doa. Bersama Syikin dan Ela, saya panjatkan kesyukuran atas kurniaan Ilahi memberi saya kawan seperti kalian. InsyaAllah, sanggup bersama susah dan senang. Moga kita terus kekal bersama menjalin hubungan persahabatan ini.







Hadiah paling bermakna, selain daripada pemberian Kak Nana iaitu seutas rantai ala-ala Mak Datin (suka sangat, cantik dan berkilau) dan daripada Syikin iaitu kotak tulis, kerongsang dan penyangkut bulu-buluan( istilah sendiri) yang kecil molek digantung di handphone , hadiah paling istimewa ialah lirik lagu yang ditulis untuk kanak-kanak austisme diterima oleh kak Hajah Rozi selaku penerbit rancangan dokumentari tv, dan puisi Takkan Sirna tersiar dia majalah Dara.com februari 2010. Alhamdulillah, berkat doa semua dan usaha yang saya bimbitkan, akan saya teruskan berkarya. Lalu menyebarkan ilmu yang bermakna untuk tatapan pembaca. InsyaAllah, akan saya jalani hidup ini penuh rasa tawaduk dan kekal di jalan Allah. Amin.


Malam pula, masih hangat deringan telefon mengucapkan doa hari lahir oleh Mak Nah dan Iman FaiQ…terharu dengan nyanyian Iman yang petah bercakap walaupun belum berusia 3 tahun. Nyanyian ‘Happy Birthday to you’ dilagukan dengan pelatnya. Buat saya tersenyum. Akhir pesannya, ‘Ayong dedek, nanti belanja Iman makan kek ea…’ Memang buat saya tersenyum. Nama manja saya pada bibirnya ialah Ayong Dedek. :)

Terasa sudah panjang tulisan hari ini. Tulisan hari lahir, moga membawa erti yang
indah untuk jalani hidup di dunia, dan akhirnya dapat membawa bekal yang cukup ke akhirat nanti. Alhamdulillah, dan syukur pada Allah. Amin.

2 lonjakan suara:

Farmilla Hamdi said...

SELAMAT ULANG TAHUN...maaf andai lambat mengucapkannya. Namun, diringi DOA semoga sentiasa dalam rahmat-Nya

hasni Jamali said...

Terima kasih. tidak mengapa. :) terima kasih mengingati dan menyampaikan penghargaan dengan ucapan dan doa. Semoga kita sama2 kekal dalam rahmat-Nya, amin.