BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, September 18, 2009

Nikmat Syawal, alhamdulillah.

salam manis salam lebaran untuk semua yang menggemari blog saya. :)
ampun maaf diminta atas setiap keterlanjuran kata dan laku... moga aidilfitri ini bertamabh bahagia buat diri saya dan kalian juga.

sekarang saya menulis entri ini di terminal 2 seremban. sambil tunggu bas jam 8.50 pagi ini. sempat lagi saya berfacebook di sini. teknologi WiFi semakin meluas. tidaklah kebosanan menanti bas...

hmm, aidilfitri ke-3 nanti, akan tersiar puisi saya di Siaran Televisyen Brunei (RTB) dalam program Rampai Pagi jam 9.20. terima kasih kepada kakak yang memberi peluang kepada saya berkarya dan alhamdulillah karya itu akan menjadi selingan untuk rancangan tersebut. Puisi Aidilfitri itu akan dideklamasikan oleh sahabat penyiar di Brunei. Puisi saya ini berkisarkan tentang kehilangan ayah ketika Aidilfitri. sangat menyayat hati hingga tidak terlakar saya untuk menulisnya. namun saya turutkan hati untuk peluang yang tiba.

alhamdulillah, rezeki Syawal kali ini. Moga puisi dan karya saya yang lain akan terus mendapat perhatian pihak2 penerbit media cetak dan elektronik yang lain. Segalanya kerana Allah taala. amin....

saya akhiri dengan salam lebaran sekali lagi. mahu bergerak ke ruang tunggu bas. selamat bercuti semua. silalah bertandang ke rumah nanti ya. di Labis Johor. :)

wasalam.

Tuesday, September 15, 2009

bicara 2 hati, cinta dan air mata... (hj dan ZAH)

jika hidup penuh dengan cinta dan air mata, biarkan ia terseksa menanggung segala duka

CINTA DAN AIR MATA IBARAT IRAMA DAN LAGU...JIKA DIPISAHKAN MUSNAH SEGALANYA...

tidak juga...jangan mudah pertaruhkan kedua2 ini dengan segalanya. pasti ada resapan rasa sayang yang boleh mengatasi cinta....

CINTA TAK BERERTI SAYANG....AIR MATA TAK BERERTI DUKA...WALAU RESAPAN SAYANG MAMPU MENGATASI CINTA, AIR MATA AKAN TETAP JADI PENAWARNYA...

penawar untuk segala rasa sakit dan perit. itulah kebahagiaan menjadi air mata, di kala suka ia mengalir, di kala duka ia turut merasakannya

KEBAHAGIAAN DAN DUKA MEMERLUKAN AIR MATA, LALU MENYIKSA JIWA. NAMUN, CINTA TANPA AIR MATA, IBARAT MUSAFIR KEHAUSAN DI PADANG PASIR...

Monday, September 14, 2009

bEnih


petang itu kami berbual-bual tentang benih. Kami bertapis-tapis menyemai bait bicara. Bimbang terdengar pada yang tua, lain pula nanti tafsirannya.

Sudah beberapa musim dia berada dalam lingkungan semaian. Namun, masih belum ada berita atau khabar semaiannya itu akan memucuk mekar.

Dia sabar sentiasa. Lagi pula, keadaannya sekarang tidak mengizinkan untuk menabur dan menyemai benih. Bimbang tidak terjaga apabila pucuk mula mekar. Komitmennya tinggi kepada yang lain.

Keadaan struktur tanah dan landskap juga tidak mengizinkan benih ditabur dan kemudian disemai hingga menjadi pucuk yang mekar.

Kami akhiri perbualan dengan semangat masing-masing. Jitu mahu benih dan berbunga. Walau bukan sekarang waktunya. Moga akan tiba masa, dapat dijaga dan dihitung hari-hari bahagia saat benih mula ditabur, disemai dan mengeluarkan pucuk mekar.

Biar benih itu nanti kan jadi bunga yang marak dan harum sentiasa. Takkan pernah layu dek godaan kumbang dan ulat-ulat yang cuba untuk singgah. Segalanya kan dapat ditepis sekuatnya.

Kami pulang dalam senyuman. Menanti musim baru yang bakal tiba dengan penuh ceria. Dengan Izin Tuhan.

aidilfitri untuk kakak. :)


Adik, kakak dan kenangan kita
Meraih mesra nan indah
Aidilfitri tahun pertama kita
Disambut bersama rindu yang terus tersemat
Hari ini dan selamanya.
Untuk kakak tersayang.


nantikan ya!///

Saturday, September 12, 2009

dari sekeping kad, tertera tulisan ini.

sayangku hanna,

'hanna, dalam dakapan lembutmu aku bersatu...
suara yang merdu, melangit aku menderu.
aku mahu kamu, satu dalam hidupku. satu dalam hatiku.
dakaplah aku, semahumu.

tika baringku, engkau datang.
jangan biar aku bangun, biar dirimu terus menyatu denganku.'

Thursday, September 10, 2009

"Syuhada, mahu ke mana? nampak tergesa-gesa. wajah awak, pucat. tak sihatkah?"

"tak...tak...saya sihat. hmm, tak apa-apa. saya mahu cepat. maaf."

itu kali terakhir saya bercakap dengan Syuhada, teman serumah saya. Entah mengapa, hati saya jadi bimbang.

*****************************************

"Chika, apa kau buat kat sini? tv tu dah habis siaran. Kau tunggu siapa?"

"pandainya kau teka. aku lagi tunggu Syuhada. tak pulang-pulang lagi. dah tengah malam ni."

"oh..."

*****************************************

sudah dua malam saya menanti Syuhada. Kepulangannya tidak kunjung tiba. ke mana dia? kali terakhir dia saya lihat keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa, sambil memeluk bungkusan plastik hitam. wajahnya pucat. dan terus saja pergi dengan lafaz maaf di akhir kata.

"Chika, aku nak keluar ni. kau mahu kirim makan apa-apa?"

"takpa lah Lisz. Kau saja makan. Aku sudah kenyang."

"Ok, nanti aku belikan kau mee goreng, ya!"

"Suka hati kau lah Lisz. Eh, kau tak nampak Syuhada ke? Ke mana dia?"

"Syuhada? bukan ke dia dah pulang kampung 2 hari lepas? Kau tak tahu?"

"tak. aku tak tahu pun. Apa sebab dia pulang ya?"

"Entah, eh...aku dah lambat ni. aku pergi dulu, ya."

"ooo...ok."

****************************************

"Hai, Chika."

"Eh, Syuhada. awak sudah pulang?"

"ya, saya sudah pulang. kenapa awak duduk di sini? siaran tv pun sudah habis ditayangkan. tak mengantuk?"

"Tak, 3 malam saya tunggu awak. apa hal awak pulang ke kampung?"

"terima kasih kerana ambil berat. saya masuk bilik dulu, ya."

"tapi Syuhada, saya belum habis bertanya..."

*****************************************

Syuhada, Chika dan Lisz. 3 watak ini menampilkan perwatakan masing-masing. Masih belum terteka dasar hati setiap mereka.

Lisz yang pemurah, Chika yang sungguh mengambil-berat, dan Syuhada perahsia yang kejam.

moga ada hikmahnya...amin.

tamat jam 4.30 pagi, latihan kebakaran.
Dalam perjalanan pulang ke kamar, saya terasa ada yang tidak kena pada tubuh. rasanya berdenyut-denyut. Saya gagahkan perjalanan dengan sesekali mengungkap rasa sakit, dan sesekali bergelak tawa dengan rakan-rakan yang berteman sama untuk kembali ke kamar. namun, tawa saya jadi tawar. saya mengerang kesakitan dari dalam.

tiba di kamar, cepat-cepat saya rebahkan tubuh. tatkala lampu dipadam, mata dipejam seperti pura-pura untuk lena. Ah, lama sekali saya ambil masa untuk lelap kerana kepala saya semakin berdenyut rasa. Akhirnya, saya lelah dalam lena. Lena saya dihiasi dengan titik-titik jernih air mata.

pagi ini, saya terjaga tepat jam 10.05 pagi setelah bangun sebentar jam 5.06 pagi untuk sahur (hanya seteguk air) dan subuh. sakitnya masih berbaki, saya lena hingga tidak sedar mentari cuba-cuba masuk dari celahan tirai jendela. dan saya terpaksa untuk tidah hadir ke kuliah pada jam 10-12. maaf atas kesakitan ini, tidak dapat banyak kerja saya lakukan.

dugaan Allah ini saya cuba ringankan dengan meluahkan rasa di kamar blog, dan berbual seketika bersama Kakak di Facebook-hanya seketika. dan kanda juga sebagai penguat rasa. panggilan ke ibu juga menyentuh hati saya supaya kuatkan semangat. namun, saya kembali berbaring di katil. untuk hilangkan rasa sakit ini secara total, hendaknya. moga migrain ini akan pergi secepatnya. tidak tertahan menanggung rasa resah dalam neuron-neuron yang mungkin sedang bertelagah tentang hidupnya.

sagala nikmat Tuhan ini, saya syukuri sepenuh hati. moga ada hikmah di sebalik kesakitan ini. dan moga saya dapat meneruskan puasa hingga ke hujung waktu. amin.

Wednesday, September 9, 2009

'pikul ilmu, dengan senyuman...'

sedang saya melangkah, mendaki satu demi satu anak tangga, yang akan menghubungkan saya dari satu jalan kepada jalan yang lain...mendaki dan terus mendaki. kuat nada nafas dihela, dalam dakap saya beg kain berisi komputer riba dan buku-buku agak tebal isinya, di bahu kiri pula tersandang juga beg bertali biru, isinya juga separuh daripada kudrat saya. Agak berat rasanya lagi-lagi apabila menghitung langkah dakian tangga ini.

sebenarnya, beg yang dibawa hanya muat-muat untuk buku-buku yang sederhana tebalnya. namun, akibat hati yang rakus dengan buku-buku, saya ke perpustakaan bagi menemani seorang teman. tidak lengkap rasanya apabila langkahan tiba di dalam isi perut segala ilmu ini tetapi tiada buku yang dipinjam. Saya lagi terus menyambar tiga buah buku yang sederhana tebalnya, dan apabila dicampur tiga, bisa jadi tebal.

saya mula menyusun langkah ke perpustakaan pusat pengajian. duduk bersama teman, dan mula bicara tentang teori yang akan dirisik kelebihan dan kelemahannya untuk menganalisis atau lebih tepatnya untuk mengkritik karya. nafas semakin kuat dihela apabila memanjat 6 tingkat sebelum sampai ke perpustakaan. kemudian, pintu perpustakaan dibuka, saya jadi lega apabila segala rasa berat tadi dapat diletakkan dan mula masuk ke dalam bilik hawa dingin. selesa berbicara dengan teman.

KEMBALI kepada cerita saya kuat melangkah dakian tangga yang tinggal sedikit lagi untuk sampai ke puncak. hampir tiba 3 lagi titian anak tangga yang perlu saya harungi. namun, bahu terasa semakin perit dan dakap saya semakin renggang. Akhirnya, kedua-dua beg saya jatuh dan menghamburkan isi-isinya. saya juga hampir terduduk di sisi anak tangga itu. Syukur tiada apa-apa yang luka.

sedang saya leka mengeluh dan mengutip buku-buku yang jatuh, saya diusik suatu suara dari belakang. "Maaf saudari, boleh saya bantu?" wajah manis itu cepat-cepat menghulur bantuan tanpa sempat saya memberi jawapan untuk dibantu. saya terkesima. habis segala yang terurai dimasukkan dengan sempurna dalam beg saya.

"Ehem, hmm...saudari, saya bawakan yang ini ya?" dia memegang erat beg sandang saya dan menghulurkan beg komputer riba kepada saya. seperti tiada halangan yang menolak, saya seraya mengeyakan.

"hmm, maaf susahkan awak. beratlah beg tu. buku di dalamnya berat-berat." separuh dengar suara saya kepadanya. dia membawa seperti tiada rasa berat langsung. walaupun saya lihat urat-urat di tangannya keluar timbul, namun wajahnya masih lagi tersenyum. Ah, apalah sangat kudrat seperti dia, merasa akan berat kandungan beg begitu sahaja. kudrat adam.

"saudari, tidak salahnya memeluk dan menggalas ilmu seberat mana pun. Pahalanya banyak. lagi tinggi faedahnya. tak mengapa, saya hantarkan saudari hingga tangga di sana, ya." dia menunjukkan tangga pemisah asrama yang tidak boleh dinaiki bangsa adam.

"Ya, terima kasih." saya jadi diam apabila mendengar kata-katanya. hanya sesekali saya menyapa senyum dengannya. 'apalah sangat beban yang saya galas, ilmu itu lebih tinggi faedahnya. lagi berat, lagi sarat kelebihan dan pahala yang saya dapat' monolog hati saya.

"hmm, sudah sampai. pikul ilmu ini sebaiknya, dengan senyuman dan rasa hebatnya membawa ilmu ke mana-mana sahaja, ya. moga jumpa lagi. salam."

dia menyapa dalam senyuman. laungan kepergiannya terasa meninggalkan seribu hikmah tentang ilmu. "pikul ilmu ini sebaiknya, dengan senyuma dan rasa hebatnya membawa ilmu ke mana-mana sahaja." suatu ungkapan yang memukau jiwa saya. mungkin raut lelah saya sudah tergambar dalam ekor matanya sejak saya mula mendaki anak tangga tadi. mungkin.

dia, saya lihat hingga hilang dari pandangan. senyumnya masih melekat dalam hati. moga pahala ilmu ini bersama dia yang sudi membantu. terima kasih, untuk dia.

saya berlalu mendaki anak tangga kecil-kecil ini sebelum bertemu pintu kediaman asrama. gagah melangkah dan membawa senyuman berseri. Pikulan ilmu mesra dalam dakapan.

Monday, September 7, 2009

sedang menguliti ini...


sekali lagi, di kampung halaman, niat mahu menjenguk kedai buku yang tidak seberapa ni...akhirnya saya ketemu sesuatu yang berharga. hmm, novel "KuUsir Lara Ini" karya Aminah Mokhtar.

Saya sangat meminati tulisannya, sastera yang diujarkan sangat menusuk hati dan pembacaan saya. Pada kali pertama saya jatuh cinta dengan tulisan antologi cerpennya iaitu "Penawar"... dan kini saya sudah memiliki 3 buah buku cernaan ilham Aminah Mokhtar iaitu "PENAWAR", "SETEGUH FIKRAH SALEHA", "KUUSIR LARA INI".

sambil berasmara dengan tugasan ilmiah (masih berbaki banyak), di samping mengerjakan esei untuk pertandingan Akademi Sastera, saya masih mahu manjakan diri dengan pembacaan yang pelbagai ini. Pelbagai genre, pelbagai juga ilham terhasil untuk saya berkarya. alhamdulillah.

moga mendapat berkat Ilahi atas segala usaha. amin. :)

'dil boleh hadippa'...saya dilamun cinta dengan filem ini.





sekurang-kurangnya, saya dah dengar dan hafal kesemua lagu dari filem ini. paling suka lagu, 'hadippa', 'Ish Hai Rab', 'bhangra bistar' dan paling rancak sekali 'disco khisko'... hmm (semua suka) :)

itulah, kalau dah terlekat sedikit resam hindi dan pakistan, hmm...susah mahu ditinggalkan. (terkenang zaman kanak-kanak, sering ikut Mus Uncle Ji, :) makan capati, dan segalanya sealiran darah dagingnya yang memang berasal keturunan hindi)

namun kebelakangan ini, naluri saya mahu dan lebih menjangkau irama punjabi. seperti lagu-lagu daripada filem "Dil Bole Hadippa" ini. 100% irama dan rentaknya punjab.

Tidak sabar mahu menonton aksi Rani yang kiranya membawa 2 watak, sebagai perempuan (ya) dan sebagai lelaki (?)... :) sukses untuk mereka, Rani aur Shahid...

untuk sekian kalinya, hati cuba menafikan. namun, jawapan masih menepis masuk tentang itu. keyakinan yang tinggi perlu. Perlu diperketatkan, agar tiada hati dan jiwa yang bakal tercalar.

sengaja tidak dengar, namun masih mencuri rasa puas. dan sekarang, tiada lagi harapan yang akan diserahkan kepadanya. lebih baik begini. hidup dalam angan gembira dan tidak perlu rasa bersalah, atau apa-apa lagi perasaan yang menyakitkan.

maaf buat segalanya yang telah merosak dan mendukakan hati...akan saya perbaiki untuk hati ini yang banyak menerima rasa duka daripadanya. kita gembira sekarang, ya. :)

dan kepada Tuhan diserahkan segalanya, berkat usaha dan amal yang istiQamah ini. mohon segalanya pada-MU ya, Rab. amin.

kembali menceriakan hati, dan berduka kepada yang sepatutnya. sahaja.

Friday, September 4, 2009

untuk 3 hari

ini saya tinggalkan untuk 3 hari saya pulang ke kampung. bertemu keluarga yang saya cinta amat. cinta amat. cinta amat. moga puisi ini (saya petik daripada Antologi Bunga yang Menangis karya Ja'afar Haji Hamdan- buku puisi kegemaran saya) akan membawa beribu makna kepada pembaca yang sudi singgah di blog saya.



Aku Cinta Pada-MU

Sungguh,
aku cinta pada-Mu
sekalipun sukar buatku
mengubah bebait kata
menjadi bahasa bunga
untuk kunyatakan
betapa amatnya cintaku pada-Mu
kecuali hanya aku mampu
menyebut dan menyeru nama-Mu
berulang kali dalam kepasrahanku pada-Mu


Bukan Rindu Biasa

Mengutip sengsara di pantai duka
sambil melihat laut dosa
aku jadi malu untuk menyatakan
tentang cinta yang semakin malap
dihembus angin bayu waktu
yang berlalu tanpa menegur sapa
makna sebuah rindu.

Wednesday, September 2, 2009

Atas NamaMU.

atas namaMU,
seluruh hidup kuserahkan,
raga jiwaku, hanya untukMU.

cinta ini,
dengan kalam untukMU,
cintaMU dalam hatiku.

bersam cintaMU,
kudahagakan rasa lenaku,
bersama cintaMU,
kurelakan segalanya untuk dekat padaMU.

tanpaMU,
tidak mungkin kurela,
seluruh hidupku,
takkan pernah ada dan sempurna.

atas namaMU,
aku memeluk waktu,
yang akan membawaku padaMU,
walau dalam sukar dan senangku,
akan aku selalu berada dalam dakapMU.

hanya untukMU,
keserah segala jiwa dan raga,
seluruh hidupku hanya mendamba padaMU,
Tuhanku yang Satu.


hasni Jamali,
2/9/09
UKM

Tuesday, September 1, 2009

hanya sekadar nama.

dia kupanggil sayang, tapi tidak bermakna dia adalah yang tersayang. dia kusebut kasih, tapi tidak bermakna ada rasa kasih dalam hatinya untuk aku.

aku hanya sekadar di pinggiran buatnya. yang aku nantikan sering tidak kunjung tibanya. dia masih enggan.

namanya hanya sekadar panggilan, untuk nyatakan rasa tersirat, jauh sekali. tidak jelas pada pandangan, dan sering kabur dalam bayangan.

walau sekian lama, sepi bertandang dalam diri. namun kali ini, sepi itu lebih kuat. apabila tiada langsung, nama itu bermakna padanya.

hanya sekadar nama begitu saja ia dilemparkan, sepi yang entah bila kan hilang dalam amukan rasa kasih dan sayang terhadapnya.

itu sahaja. hanya sekadar nama.

tiba giliran dinda... :)

alhamdulillah, 3 hari cuti minggu berlalu dengan sedikit kisah. Namun segalanya gembira. Duka ada juga, tapi sempat saya baiki semahunya. Alhamdulillah berkat bulan Ramadhan, segalanya pulih kembali.

Cuti Merdeka, saya ditinggalkan kawan2 satu blok, mereka sempat bersama keluarga. dan saya, masih sendiri di rumah 3 tingkat ini. Sunyi. Sekejap saja, kerana ada rakan lain yang senasib sudi menemani. ana, nira dan sha. kami berbuka sama-sama, dengan menu istimewa daripada nira "tom yam mee hun" nya. tambah lagi dengan ayam krispi. sedapnya menjilat jari. :)

dan kanda juga pulang. rezeki mendapat tiket lebih kepada kanda. saya juga ditinggalkan. :)

hmm, 1 perkara menggembirakan, Jumaat nanti 4 hb 9, akan saya ganti giliran dengan kanda pula. saya akan pulang ke rumah waktu itu. Nuzul al-Quran, cuti istimewa bagi negeri Selangor. :)

tiba giliran dinda, ya kanda. :) moga dinda juga dapat kecapi bahagia seperti kanda lalui di rumah. :) amin.

dan, seterusnya menanti debar saat berkejar bas hari Jumaat nanti, kerana kuliah akhir habis jam 12 tengah hari. tiket KTM pula jam 2.40 petang. moga2 sempat ke stesyen hari itu nanti. amin.

saya akan pulang! :)