BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, December 30, 2009

Lentera Bunga Purnama

Sayup azan menggegau telinga,
sapaannya penuh sayu,
melaung seruan Ilahi,
pada insan bergelar hamba-Nya.

Gegeran hati,
memaut rasa rindu,
mahu bertemu dan sujud kepada-Nya,
apakan daya,
Masih dilindung bulan purnama,
kekal mengalun zikir dan doa.

Pada hati nan suci,
cekal menggigit nubari,
Moga nanti bertemu kembali,
dalam sujud menyembah Ilahi,
kan melaksana setiap seru janji.

Pada laungan azan lagi,
geger hati terus memaut rindu,
Sujud pada-Mu dinanti selalu,
Menghitung waktu kitar bulan kan berlalu,
Zikir dan doa terus berlagu.

hJ
30 Disember 2009

Tuesday, December 29, 2009

dengan izin-Nya


Sebelum lena berbicara,
terbit suatu perasaan indah,
tatkala mata tidak mahu lagi pejam,
sementara meninggalkan dunia,
dengan izin-Nya.

dengan izin-Nya,
kenangan menitip bicara,
mengenal ayah dan bonda,
memeluk halus tubuh kakak,
menyisip sopan jemari adik,
bahagia tiada peri.

bahagia tiada peri,
tatkala memori riang berbicara,
ayah dan bonda senang memberi senyum,
kakak tenang menyambut berita gembira,
adik berjaya mencari arah,
PMR yang satu,
ditempuh tabah dan usaha,
hasil yang marak,
menebar mekar harum indah maruah keluarga.

Harum indah,
dengan izin-Nya,
adik menggondol anugerah,
ungkapan tahniah selaut bahagia.

Memori indah terus berbicara,
adik kini mekar dan berjaya,
kakak bahagia menghulur madah indah,
ayah dan bonda menadah kepada-Nya,
mengucap syukur tidak terhingga.

dan adik,
binalah jaya dengan tabah,
atas izin-Nya,
lunakkan mekar hadiah,
doa ayah dan bonda,
doa kakak setia,
pada adik yang menggunung harap impian.

hJ.

Monday, December 28, 2009

Pada awal


Seawal 6.45 pagi, walau terasa sudah lewat untuk menunaikan fardhu keatas-Nya, dia lantas bergerak hebat ke kamar mandi. Tepat jam 7.15 pagi segalanya selesai dalam kadar sederhana laju. Alhamdulillah, masih lagi Tuhan memberi dia kesempatan untuk terus menjalani segala nikmat di dunia ini, tanpa dia lupa akan dunia-Nya yang lain. Syukur.

Kuliah am 8 pagi dihadiri tepat pada masa. Biru pilihan hatinya hari ini. Dalam langkah menuju jalan ke kelas, dia tersenyum sebagai alas kepada lelah yang mengejar waktu. Sudah ada misi untuk sampai ke kelas sebelum pensyarah masuk, dan dia berjaya lalu dirayakan dengan senyuman manis yang panjang.

Kuliah berjalan lancar. Seperti biasa lontaran soalan daripada pensyarah yang suka menduga pelajarnya, tidak lekang tersua. Dia juga dijadikan pilihan untuk mengungkap setiap jawapan. Ada yang dapat dijawab, ada juga yang tidak. Sebulan sudah otak dan benak direhatkan sehabis-habisnya, beginilah aksi setiap kali bermula semester baru. Ada yang menggaru-garu, dan ada juga yang bersemangat waja melontar jawapan, walaupun salah. Tidak salah mencuba. Bukan dimarah pun, sekadar memenuhi tuntutan keyakinan untuk bersuara.

Kuliah kedua, agak melenakan. Tekad untuk tidak lena berjaya diatasi.

*****************

Tuesday, December 22, 2009

instrumental diri dan hati

Pernah suatu hari dia bercerita padaku. Katanya, demi sayang dan cintanya dia rela menanggung seribu duka. Dia rela terdampar dan hanyut dalam segala luka. Dia pernah bermohon agar duka dan luka menetap dalam dirinya, supaya dia tetap akan bersama insan yang disayanginya itu. Namun, Tuhan tidak merelakan segala duka dan luka yang diminta olehnya, dia hingga kini masih merasa nikmat bahagia dan sempurna. Alhamdulillah.

Pernah juga suatu hari dia meluahkan perasaannya padaku. Bicaranya berbaur rindu dan pilu. Dia sukar menahan segala gejolak perasaan itu. Dia menangis dan meratap sayu, pada balik helai-helai kertas putih, dia mencoret segala resahnya. Moga dia beroleh ketenangan dan sentiasa aman.

Esok harinya, dia akan pulang bersama keluarga. Insan-insan yang disayangi dan dicintai dan dikasihinya. Dia kulihat bahagia, walau sedikit resah bersarang dalam dada. Tidak mengapa, kuyakin dia tabah mengharung segala lemah dan godaan jiwa. Dia kuat. Aku tahu.

Sebelum pulang, dia menoleh kepadaku. Pada wajahnya ada seri, walau kulihat ada manik-manik halus bersinar di matanya. Dia menangis. Ah, mungkin saja itu tanda tangis gembira daripadanya. Ya, tangis gembira. Aku relakan kepergiannya bersama keluarga yang disayangi, dicintai dan dikasihinya. Dia berlalu dalam senang.

Suatu ketika, hatiku berdetik menyatakan, alangkah bahagianya jika hati punya ketabahan menanggung segala resah. Alangkah nikmatnya jika jiwa sama-sama kuat berpadu tenaga, membantu hati terus dilamun kekuatan melawan resah.
Sememangnya hati dan jiwa sama-sama berpadu memasang segala kekuatan. Hasilnya, air mata tetap jua mengalir. Itu tandanya resah dibantu untuk selesai ke akhirnya. Adakalanya air mata gembira mengalir kerana memperolehi kesenangan dan adakalanya air mata yang gugur terhampar akibat hati dan jiwa yang gagal mendapatkan kesenangan.

Namun segala usaha masih tetap dihargai, yang duka tidak selamanya akan terluka. Tuhan telah memberi suratan bahawa perjalanan yang masih ada untuk hamba-Nya mengenali duka dan suka sebaiknya. Air mata duka berganti rasa suka dan tiada lagi hiba. Segala pilu, dan sendu yang dulunya mengurung duka jiwa, menjadi sempadan agar diri tetap berpegang kepada iman. Mengakui Qadak dan Qadar sebaiknya.

..ketika mendapat khabar, bahawa dia kini gembira, aku juga merasakan sukanya. Walaupun tempoh yang diberi pinjam oleh-Nya hanya seketika, dia tetap merelakannya. Katanya, dia akan perteguhkan hidup dan hayat yang diberi pinjam ini sebaiknya. Duka dan suka dinikmati bersama kalam Tuhan yang Maha Esa. Moga begitu sentiasa dan keakhirnya...

"terima kasih sahabat. Maksud hidupmu begitu memberi aku inspirasi untuk terus menghadapi gejolak rasa dan resah dunia. Moga syurga menjadi milik kita, dengan Hendak-Nya. Amin."

Prinsip hidupmu: "Tidak selamanya kita akan ada di dunia ini, hargai dan jalani segala hayat yang ada sebaiknya, moga iman kekal bersama, membawa kita ke syurga Ilahi."

..nyaman petang itu, kuhayati segala nurnya. Penuh keinsafan dan aku berdoa agar segala perjalanan hidupku di dunia ini, membawa redha Ilahi, dan nikmatnya dapatku tebarkan pada insan-insan yang aku sayangi...

hJ

membaca,
pada kulit dan tajuknya,
tertarik dan terus memilih,
untuk dikunyah bahasa,
dan dilumat sehingga hadam kejap.

~dengan awal lafaz basmallah, mula bicara terus santun mengikut rentak irama bahasa dan lenggok tulisnya~~ moga menjadi ilmu yang benar dan bermakna. sehingga itu, mula menilai, kebenaran dan makna yang sebenar untuk dijadikan panduan dan amalan hidup~

hJ

Monday, December 21, 2009

dia kan tetap berseri

semalam,
berlalu indah suatu pagi,
tika mentari mula tersenyum,
dan bulan masih segan untuk pergi,
terpancar sinar pada wajah,
berseri disapa bayu,
harum dilamun rindu.

hari ini,
berlalu indah sang pelangi,
menitip khabar gembira,
tersenyum riang pada wajah,
bersinar dan berseri,
harum terus mewangi,
disapa rindu lagi.

kini dan semalam,
akan pasti datang lagi,
dalam khayal dan lamun indah,
semerbak harum mewangi,
tersebar terus pada hati,
yang menyayangi,
yang mengasihi,
dan yang mencintai.

sesungguhnya,
dia kan tetap berseri,
untuk hari ini, dan
semalam yang berlalu pergi.

hJ

lirik lagu cipta sendiri, nyanyi sendiri... tentang kasih yang pergi dan rindu

semenjak kau hadir dalam hidupku, raga dan kalbu jadi tidak menentu, kurindu kurindu, padamu selalu. kau hadir tanpa kuduga, menyeri duka dan nestapa, kau beri riang dan tawa padaku.

semenjak kau hadir, aku menjadi rindu, untuk bertemu dan bersamamu, selalu di hatiku, kau yang satu, tiada dua, hanya kau yang satu.

kekasih, aku merindu dan merindu, kehadiranmu, dan keakrabanmu. kekasih, jangan kau tinggalkan diriku, kekasih aku rindukanmu.

malam ini, kau tiada aku juga pergi, sendiri dan sepi, cuba mencari-cari. Jauh, kau pergi, tinggalku sendiri.

Monday, December 14, 2009

yang indah boleh dikejap selamanya...melalui cara kita mengenanginya.

"Pelangi Petang untuk dia...untuk kita semua. kamu rasa?"

"Lebih dari rasa, saya menyelaminya sedalam-dalamnya."

"wah, bersungguh betul kamu ya!?"

"Pastilah. itu lagu kita kan?"

"hmm...tersengih-sengih. apa ya makna lagu tu buat kita?"

"saja mahu menduga ya?"

"hmm...ya...saya sengaja."

"kamu ni, tersenyum saja. Indah saya lihat senyuman itu. kekalkan, ya!"

"Sudah. Jangan banyak memuji. Cepat khabarkan pada saya, apa makna lagu itu pada kamu?"

"segala yang indah,
segala yang indah,
segala yang indah,
walau kita mahu milikinya,
walau kita mahu milikinya,
kita hanya mampu mincintainya,
dan kita hanya mampu menyayanginya,
dan kita hanya mampu mengasihinya,
sepenuh hati,
sepenuh jiwa,
sepenuh rasa cinta dan sayang."

"indah bahasa dan makna kamu. terima kasih."

"Senyuman kamu indah, Kekalkan ya!"

"saya boleh kekalkan, tapi segalanya terpulang pada Pencipta kita."

"Maksudnya?"

"kita tak selamanya kekal. Entah bila kita akan dipanggil-Nya."

"Yalah. walau apa pun, saya akan tetap menyayangi dan mencintai kamu. Selama hayat kita. ya."

"terima kasih memahami saya. terima kasih menerima saya seadanya. hmm..."

"Ini penawar kamu. kita hadapi dugaan dan cabaran ini sama-sama. moga kamu disembuhkan oleh-Nya. Pelangi Petang untuk kita bersama."

kami berlalu dalam iringin senyuman. Walau pahit untuk dia rasa, temannya akan sentiasa bersama. dan takkan pernah meninggalkannya walau sekejap. kenangan indah yang ada, akan sentiasa dikejap dalam ingatan dan senyuman. walau tidak selamanya unutk dimiliki, pasti akan ada masa nanti kita bersama lagi. segalanya kami serahkan pada Allah, Maha Pencipta kita.