BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 30, 2010

Begitu, hati ini dilukai

Saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Begitu, hati ini dilukai.

Setiap kali saya menulis di sini, pastinya ketidaktenteraman hati yang terujar. Terhenti seketika. Adakah perlu saya mencoret duka di sini?

Begitu saya menanti saat untuk menulis panjang. Akhirnya, sekali lagi episode duka melanda.

Hati. Hati yang sentiasa mahukan bahagia. Tapi. Terlempar dengan kata nista. Mengapa manusia itu, yang dahulunya menyayangi, tetapi sekarang begitu menyakiti? Begitu melukai…Mengapa?

Dalam dakap ayat-ayat suci, saya tenang kembali. Begitu yang disuratkan Ilahi. Sentiasa dekat dengan-Nya. Ketenangan dan ketenteraman hati yang dicari.

Beribu kali, dan benar-benar dilukai. Kali ini, sabar yang dinanti hampir pecah kembali. Namun, patah hati ini, benar-benar ditusuk duri. Benar-benar…sakit.

Jika tidak lagi mampu saya tahan. Saya berdiam diri selamanya. Biarlah dia terus mengata nista. Kebenaran dan yang hak…Ketentuan Ilahi.

Kepada yang mengerti, terima kasih. Dan kepada yang dengki moga diberi hidayah dari Ilahi.

*Moga selepas ini, saya tidak dibauri lagi dengan kisah duka seperti ini. Saya pergi.*

Monday, March 29, 2010

sedang mencari perasa

...sedang cuba-cuba untuk menulis panjang...

*akan datang beberapa hari nanti*

Saturday, March 27, 2010

Gelap Malam Ini (sempena Hari Bumi)

dengar-dengar malam ini kita bergelap,
elektrik dipadam,
bertambah kelam,
hangat yang suram.

benar malam ini kita bergelap?
apa rancangan apa rencana?
berdiam saja?
atau berkelana?

tiba malam, sudah bergelap,
duduk seorang jangan berdua,
nanti tiba tidak disangka,
yang ketiga,
angkara punca,
malam yang gelap.

biar malam ini kita bergelap,
pendam gelita,
mahu bumi segar semula,
yang indah-indah lakukan segala,
kan ada cahaya,
bersinar semula.

Gelap Malam Ini karya hJ (ruang tamu K4N, UKM 6.47pm, 27 March 2010 )

Friday, March 26, 2010

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2010


(DIBELI PADA 19HB MAC 2010)

beberapa yang lain iaitu dibeli pada 25 Mac 2010 (kali kedua ke PBAKL) tidak disertakan gambar di sini. Antara yang dibeli semalam:
1/Novel Sesuci Kasih Bonda karya Ilani Mysara
2/Porjek Diet Ain Maisarah karya Ain Maisarah & Rose Harissa
3/Kembara Seorang Hamba karya Shahnon Ahmad
4/Tip-tip Cemerlang daripada Quran tulisan Dr.Danial Zainal Abidin
5/langsir: Praktikal dan Bergaya

Alhamdulillah, rezeki yang mencukupi membolehkan saya memiliki buku-buku kegemaran. Moga rezeki sentiasa berpihak, menambah ilmu dan amal. amin.

Segala Pendam

taburan warna pelangi,
mula pudar,
saat hadirnya segala pendam.

duka dan luka,
ribut gelombang,
pecah, parah dan berdarah,
sukma yang terus gelita.

bisu aku bisu,
pendam segala rasa,
biarpun jujur diperkata,
tiada satu yang dipercaya.

Sujud,
ikhlas dan rindu,
Ilahi,
datangkan pelangi,
agar pendam,
tiada lagi.

karya hJ (25 Mac 2010, 1158pm, : Ya, Allah. Aku Menangis)

Monday, March 22, 2010

"Aku Terbuang" karya hJ tersiar di Berita Minggu



Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini karya saya tersiar. Moga ada kejayaan lagi di masa akan datang.

::Moga tiada lagi 'aku' terbuang,
dilayang tanpa pandang.

::Ibu dan bapaku,
beri taraf layakku,
digelar sayang,
bukan dipanggang perasaan.

Sunday, March 21, 2010

Rindu

Tipis angin berlagu,
tiupnya halus menyentuh kalbu.

Sepi di situ,
damainya menyisip syahdu.

selalu...
dilamun rindu,
pada-Mu yang Satu.

Rindu karya hJ (3.47pm 21hb3)

Friday, March 19, 2010

Kering

Beribu kali ditolak,
Diterjah kebersalahan,
Hingga merunduk,
Tiada yang peduli.

Riang dipinggir,
Ria disisih,
Dilambung lagi kebersalahan,
Pilu berlagu.

Irama terhenti,
Hilang lari,
Lenyap segalanya,
Biarkan sendiri bersama sepi,
Tertakdir begitu,
Rela.

Duka kejap basah,
Suka terlalu kering,
Kontang,
Tiada lagi,
Lenyap,
Segalanya ilusi.

Kering karya hJ (1239am, 19 mac 2010)

:: tinta ini, biar aku pergi. realiti dalam ilusi.

Thursday, March 18, 2010

Dodoi Manja buat Syuhada

Syuhada,
senyum kecil molek,
terukir manja di bibir mungil.

Sayup suara,
meruntun mahu didodoi,
Ya Syuhada,
lantun lembut suara manis ibu,
Moga lena dibuai rindu.

Lenalah sayang,
dalam senyuman manjamu,
santun doa bertaut,
sebelum pejam berlalu.

Dodoi Manja buat Syuhada karya hJ (18 Mac 2010. 1:48am)

Tuesday, March 16, 2010

Seorang

Melihat teman riang,
tersenyum dibimbit ria,
Alangkah,
cantik tawanya,
tersusun rapi seri,
melirik rindu hati.

Wajah tiada lagi kusam,
Sinar terang,
Memancar riang,
lagi,
alun irama pelangi,
riang warna-warni.

Teman yang riang,
biaskan sukma indah,
serapkan pada semua,
pada teman yang hilang,
pada teman yang keseorang,
berteman siang menjelang malam.

Seorang karya hJ (1.49 pm, makmal komputer, 16 Mac 2010)

Monday, March 15, 2010

Nikah

Rintik renyai yang dingin,
kita hampir-hampir memegang erat,
basah dan bertentang mata,
kita hampir-hampir berdakap rapat.

ah, itu kita,
yang hampir-hampir saja,
sengaja,
biarkan basah tubuh,
dirintik renyai hujan,
sengaja,
menghangat asmara,
bersama depang tangan,
dan pejam mata.

hampir-hampir,
semakin pula rapat dan erat,
dekat,
bersatu kuat.

terima kasih,
hubungan erat dan rapat,
bersemi mendakap,
tiada dosa,
kerana halalnya,
hubungan asmara.

Nikah by hJ (14 Mac 2010)

Tuesday, March 9, 2010

Matang Adikku by hJ

Cemas bicara ibu,
Di hujung talian suaranya serak menahan tangis,
Butir bicara jadi tak menentu.

Aku yang mendengar,
Turut berasa haru,
Anak ibu- kakak sulungku,
Sudah seminggu menjamah tubuh katil di wad,
Tiada lagi tanda tangis bayi,
Yang mendodoi dan mengelus manja.

Ibu dan kakak,
Tangis tiada sendu,
Buat aku jadi keliru.

Datang adik melirik senyum,
Bicara lesu jadi hibur,
Duduknya berteleku,
Sambil tangan menadah sayup,
doa santun dilagu,
Pada Ilahi tuju yang jitu.

Setia dakapan adik,
Kejap dan padu memeluk kakak dan ibu,
Matang perilaku,
Hingga aku jadi terkedu.


by hJ (9 Mac 2010)

Monday, March 8, 2010

Bismillaah ar-Rahman ar-Raheem
Qul a'uudhi bi rabbin naas
Malikin naas
Ilaahin naas
Min sharril wawaasil khannas
Alladhee yuwaswisu fee suduurin naas
Minal Jinnati wa naas

Sajak 'Hari Ini' by hJ

Hari ini,
Lesu membimbit hati,
Tiada senyum,
Luka bertambah di hati.

Hari ini,
Mata sukar berkelip,
Tajam perhati duka,
Tercarik dan berdarah sekali.

Hari ini,
Hilang tawa lagi,
Yang baru ingin bermula,
Onar yang hilang tumbuh kembali,
Gamitnya kejam menuduh daya sukma.

Hari ini,
Doa tawakal bersatu janji,
Takdir sepi berlalu pergi,
Mengharap reda Ilahi,
Itu yang pasti.

by hJ

Episod Jiwa 1

‘kenapa dengan saya tuan dok?’

Dok senyum. Jubah putihnya dikibas-kibas. Stateskop kejap dipegang.

‘Awak, ada masalah ke?’ reaksi dok yang cukup mendebarkan. Suasana bilik bercat putih kuning itu sunyi. Sepi tanpa ungkap suara.

‘Kenapa awak diam? Ada apa-apa yang mahu awak kongsikan dengan saya?’ dok tersenyum lagi. Mungkin reaksi itu sengaja dibiarkan bagi mengurangkan kegelisahan hati ini. Ah, kenapa ni?

‘hmm…saya ok je dok. Sihat. Tak sakit kan?’

‘Siapa kata awak sihat? Siapa kata awak tak sakit?’ kali ini, wajah dok berubah serius. Dok seperti mahu melontar amarah. Kerutan pada wajahnya langsung mendebarkan hati yang baharu saja mahu tenang.
Dok kembali tersenyum. ‘Macam ini lah. Pada luaran awak nampak sihat, tapi saya tahu…ada desakan jiwa yang buat awak tak tenang. Betulkan? Saya faham, awak berahsia. Takpe, saya beri awak cuti beberapa hari. Awak berehat dan ambil masa untuk selesaikan segala kekusutan minda awak. Cari orang yang sesuai untuk awak berkongsi cerita. Jangan pendam semua sendiri, ya.’

Jawapan dok beri sendiri atas persoalannya. Tergamam sebentar. Dia seperti memahami kekusutan jiwa. Patut pun di kelas tadi, ramai yang menegur, wajah nampak sayu dan tak berseri. Mungkin paparan kekusutan ini jelas terpancar. Hampir saja mahu pitam, lalu dibawa ke klinik. Dan dok yang merawat kelihatan seperti dok psikologi. Sedikit lontaran nasihat dan arahan bercuti.

Ada lagi riak senyumnya. Tampak lebih manis, ‘hmm, sebelum awak beredar saya mahu pesan, selepas habis bercuti…datang semula jumpa saya. Selamat bercuti, ya.’
Angguk yang lemah lalu keluar dengan huluran senyum terima kasih. Dok juga menyambut senyum itu.

‘kenapa perlu jumpa dok semula ya. Mungkin…’ cuti yang diberi banyak. Mungkin bawa hati dan diri ke kampung. Tenangkan segala kekusutan. Tenangkan segala gundah jiwa. Usaha, doa dan tawakal. InsyaAllah, selepas ini lebih baik. Terima kasih kepada senyuman dok, yang cukup memberi semangat.

Sunday, March 7, 2010

sepintas lalu~~ sensitiviti



Tidak semua, membaca dan mentafsir dengan tepat. Adakalanya, cepat sahaja timbul rasa iri. Adakala juga mudah sahaja hati jadi sensitif. Sedikit kata-kata, sedikit bicara dan banyak makna yang terungkai dek hati. Berbeza-beza tanggapan pemberi dan penerima. Untuk jiwa memahami juga lain, maka itu mulalah menjauh dan rendah diri akan sensitiviti yang ditanggung. Amat terseksa, tetapi itu hakikat yang sukar diubah.

Friday, March 5, 2010

Sekarang seolah-olah keadaan menjadi semakin baik. Ya, baik bagi mereka. Tahniah, kepada mereka. Moga semakin sihat dan sentiasa baik. Tahniah kepada diri ini juga. Kerana masih bertahan hingga ke hari ini. Herdikan dan cacian semakin hilang, walaupun sisa-sisa masih terasa. Tak mengapalah, apa yang penting mereka semakin baik.

Utusan malam itu, ditinggalkan jauh-jauh. Seperti ada tusukan tajam tertinggal jika ia dibicarakan lagi. Tersinggung hati dan terluka jiwa, moga ia sembuh dalam doa dan harapan kepada Ilahi.

Sekarang, kesenyapan dan kebisuan. Tanpa suara diri bergerak seiring dengan haluan masa. Harapan untuk diri ini bahagia seperti pesan ibu dan keluarga. Tak sampai hati melihat mereka juga menderita kerana kedukaan diri ini. Ya, ibu dan keluarga paling disayang. DIri ini kuat melawan dugaan. Diri ini berpegang kepada kebenaran. Hingga usai badan dikandung tanah. Segala harapan dan moga diletakkan pada Ilahi semata.
Terima kasih keluarga, membantu dan menceriakan hati. Diri semakin kuat dan tabah. Moga tiada lagi duka dan luka sekejam itu. Amin.

~hJ

Thursday, March 4, 2010

Kerana aku dihalang!

Utusan yang diterima malam itu, benar-benar merenggut jiwa sukma. Menahan daya dan getir pedih. Hampir saja minda jatuh hingga tahap paling bawah. Tersungkur digarit duka yang menikam dalam sekali. Ah, perasaan dirobek carik seribu!

Usai membaca utusan. Dalam geram berbaur kelam. Bibir bisu tiada kata. Terpempam! Terpegun dengan amaran laksana kerahan hilang upaya.

Seperti hurungan mangsa, yang jijik diperkata segala sangka. Duga yang kuat tersimpan. Jauh disudut jiwa, resah mencengkam payah.

‘Ya, aku mangsa! Aku diperkata seenak bahasa! Bukan dia, bukan siapa. Malah hati yang lain turut menyata gundah!’
‘Hei, bukan aku yang salah! Aku mangsa!’
‘Baiklah, kau lupakan segalanya! Bukan satu, bukan dua! Malah berkala-kala.’

Tutup kata daripada utusan yang diterima. “Lupakan.”

Aku mangsa, yang dikata pura-pura. Dilarang terus mengutus khabar. Dilarang terus memungut berita.

Sudah-sudahlah. Jangan pula suatu masa dikatakan pula aku lupa dan tiada sanggup menanggung duka bersama. Jangan pula suatu masa dikatakan aku lupa dan hilang budi bahasa.

Pada budi dan taburan kenangan, aku akan simpan di sudut hati bersama luka dan goresan duka. Biarlah ia terus membungkam bahasa. Kerana aku dilarang! Kerana aku dihalang!

Fahamlah. Nada harapan hilang lenyap bersama duka. Tiada lagi moga. Tiada lagi harap. Segala yang sia-sia. Kerana aku mangsa!

Berlalu aku dengan hiba. Menanggung resah yang payah. Gundah ini pergilah. Kerana aku dihalang harap!

Wednesday, March 3, 2010

Lena petang yang panjang. Tiada mimpi dan angan yang datang bertandang. Segalanya kelam. Bangkit dalam keadaan yang terhuyung-hayang. Ah, sakit ini datang kembali. Getir hati menahan pedih. Tak sangka, sudah bertahun ia menjauh. Tiba-tiba hadir tanpa diduga.
Duduk sebentar menahan lelah. Perit menggigit bibir. Mengelus aduh. Kejap tangan menekan perut. Mencucuk hingga ke hulu hati. Ah, terasa mahu saja menghempas tubuh kembali lena. Tidak, gagah yang padu perlu. Waktu Asar semakin beranjak pergi. Tidak…tidak boleh ditinggalkan.

Untukmu Hana bersama Salina Ibrahim



Pesan di dalam helai pertama novel ini, bersama autograf Kak Salina:

Hasni a.k.a hana, Selamat membaca, menghayati dan menilai makna kehidupan.

3/3/10, UKM

Tuesday, March 2, 2010

Monday, March 1, 2010

Suasana meriah! hungama... :)