BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 29, 2010

Mengharap cerah arah



Alhamdulillah, tiba jua hari Jumaat. 29 Januari 2010. Hari ini, dugaan semakin berat. Hari-hari belakang yang penuh dengan jerit amarah. Diri semakin bingung. Mungkin kerana celaru. Fikiran kusut dengan timbunan tugasan ilmiah. Entah mana yang mahu dimulakan dahulu. Berharap selepas luahan ini tamat, akan ada keredaan dan mula menunjukkan perubahan. Lebih baik.

Pada saat ini, hati menjadi sayu. Sambil menulis, sambil telinga mendakap lagu yang sayup. Membawa arus halwa. Sentuhan pawana juga turut menyentuh kalbu. Tiada riak gembira. Titis air mata seakan-akan mahu mengalir. Hanya berkumpul. Belum lagi mahu tertuang dan tumpah.

Mata dipejam. Tiada titisan mahu turun. Hati meratap. Pada potret wajah ibu, penglihatan ini terhenti lama.
Emak,
Along sedih. Tapi Along tak sampai hati nak beritahu emak. Dugaan dan masalah yang sedang bertakung. Along hilang arah. Celaru fikiran Along. Tak mampu Along nak luahkan pada emak. Along tak mahu emak risau. Along mahu emak sentiasa bahagia. Petang tadi, Along terpaksa bohong pada emak. Along kata Along tiada masalah. Hanya tugasan ilmiah yang membebankan hati dan minda. Di sebalik itu, ada lagi masalah lain. Maafkan Along, mak.

Ayah,
Terima kasih kerana cepat menangkap suara Along yang tak keruan dalam telefon. Along akan cuba mengelak dan takkan biar ayah terkesan dengan suara cemas Along. Masalah ini, Along akan cuba atasi sendiri. Ayah, Along rindukan ayah dan mak. Along rindu adik-adik juga.

Adik,
Terima kasih. Akak sayang adik dan abang.
Abang,
Terima kasih. Akak sayang abang dan adik.

Insan-insan, maafkan keterlanjuran saya yang cepat meluah rasa marah pada kalian. Maafkan saya, tidak keruan dengan keadaan. Maafkan saya, tidak cuba mengekang rasa amarah. Saya terus saja jadi bingung. Insan-insan, saya sayang kalian.
Kakak, adik sayang kakak. Maaf, tiada langsung niat untuk menyebarkan amarah ini. Adik sayang kakak selamanya.

Kini, masih menanti luahan air mata jatuh. Biar seketika, pergi dan tenangkan diri. Tak mampu lagi mahu bertarung dengan amarah yang kuat ini. Amarah, pergilah…..Pergilah. Berikan kembali diriku yang dulu. Aku yang tenang dengan dugaan.

Tuhan, kembalikan aku kepada sifatku yang tenang. Hilangkan amarah ini. Mungkin, ini petanda awal pemberian rahmat-Mu atas setiap wanita, namun berikanlah aku kawalan amarah yang baik. Aku terlanjur menyisipkannya. Hingga ada hati yang terluka. Maafkan aku Ya Tuhan. Berilah kelembutan pada setiap hati yang terasa pada amarahku, agar aku tenang dalam kemaafan mereka.

Itu sesungguhnya, aku harapkan daripada-MU. Amin.

untuk itu, akan aku harungi sendirian kembali. Terima kasih Tuhan, beri aku peluang mengenal diri dan menghargai hati, hanya kerana-MU.

2 lonjakan suara:

Rozuan Ismail said...

salam teman..kekadang kita terpaksa menipu org yg kita cintai semata-mata kita tidak mahu mereka bimbang dan susah akan kita..moga ALLAH SWT memberi kesenangan dalam segala urusan saudari..

hasni Jamali said...

Salam sua Rozuan Ismail,
terima kasih mendoakan kesenangan buat saya. InsyaAllah, saya nantikan segala hikmah yang tiba.

salam kenal dari saya, hasni.