BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 27, 2010

Menatap CInta (1)

"Tiba-tiba hujan lebat. Tak sempat sampai bilik dah basah. Aduh!" Sejak awal hujan membasahi bumi, hingga dua jam berlalu Kienah tidak henti-henti merungut. Mana tidaknya, dia yang sememangnya takutkan air, kini dibasahi lencun hujan rahmat itu.

"Sudah-sudahlah Kienah. Daripada kau membebel, lebih baik kau pergi mandi. Nanti demam pula." Bihah yang tenang, mengarah teman yang sedang kalut menanggalkan sehelai demi sehelai yang membaluti tubuh lalu dibalut pula dengan tuala merah jambu berbunga sakura.

"Iya, nak mandilah ni." Rungutannya keras. Sedetik Kienah berhenti melangkah.

"Apa yang kau pandang tu?" Bihah kehairanan. Turut menjenguk sini dan sana. Dalam hatinya sudah terdetik, kalau-kalau Kienah ternampak lintasan anak-anak cencorot atau cicak besar di bawah almari. Siapa tahu, bilik paling bersih pun kadang-kadang tidak lepas daripada makhluk-makhluk raksasa yang ditakuti Bihah.

"Bihah, tak payahlah angkat kaki sampai macam tu! Takde cencorot dengan cicak besar kat sini." Teman yang memahami. Bihah sedikit malu, lalu menurunkan berhati-hati sepasang kaki yang dilipat tinggi sama paras dengan dadanya itu.

Sambil membetulkan ikatan tuala, Kienah berlari anak ke ruang tamu. Yang dicari kini ditemui. Dia hampir menjerit apabila tombol pintu dipulas sedikit, membenarkan ruang pandangnya menonton babak asmara yang sedang hangat berlangsung.

Hujan yang masih lebat menghunus rintiknya, didakap erat oleh tubuh comel itu. Lencun dan basah tidak dihiraukan lagi. Tangan didepang semahunya. Sesekali mengelus nafas asmara yang kuat. Sesekali wajah itu melemparkan senyum manis yang panjang. Sesekali senyum itu meleret segan. Mata yang tertutup rapat tidak dibasahi air yang mengalir dari celahan kaca mata yang menutup pandang. Asyik mendakap hujan, asmara yang hangat ditonton teman serumah-Kienah yang sedang membara marahnya dan Bihah yang terlopong seperti mahu turut sama.

"Ayesha!!!" Alunan mesra rintik hujan pecah berderai tatkala suara merdu Kienah terlontar ke pelosok cuping alam. Segera Ayesha merapati dua sahabat itu.

"Kienah, kenapa ni? Ya Allah, apa kena kau ni? Berkemban? Masuk-masuk, malu orang nampak nanti." Ayesha menolak laju tubuh Kienah disusuli Bihah yang menatap tanpa mahu menyampuk sepatah dua kata.

"Oh, yang kau kat luar tu macam orang gila main hujan, tak malu pula?"

"Alamak, dah mula dah dia membebel." Ayesha berbisik.

"Apa? Kau kata aku membebel ya? Wah-wah!"

"Sudah! Apa hal la bising-bising ni?" Bihah mula rimas. Kienah dan Ayesha senyap tanpa suara.

"Achoo!"

"Ha, ini lah yang aku takut ni! Kan dah mula selsema kau. Kejap lagi mesti demam!" Lantang Kienah mengaju tuduhannya kepada Ayesha yang sedang terketar-ketar menahan sejuk. Baru dia sedar, dia kini kebasahan yang amat.

Ayesha senyap. Sesekali tangan kanannya menggosok-gosok hidung yang gatal. Bersin dan terus begitu. Payah benar. Merah padam mukanya menahan asakan bakteria yang mula menyerang tubuh.

"Hasyum!" Giliran Kienah. Bukan mengejek perlakuan Ayesha tetapi memang dah ditakdirkan kedua-dua mereka perlu bersin kerana kebasahan dalam hujan.

Bihah segera mengambil tuala hijau berbelang ungu lalu disampulkan pada tubuh Ayesha. Lagaknya seperti ibu yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak. Penyayang. Kerdip matanya mengarah Ayesha segera ke kamar mandi dan berehat. Begitu juga dengan Kienah yang turut sama menerima arahan. Kedua-duanya akur. Longlai menuju destinasi masing-masing.

********************************************************

Kienah dan Bihah setia merawat Ayesha yang melepek hampir semalaman. Demam.

"Lemah betul antibodi kau ni, Ayesha. Main hujan pandai. Tak ingat dunia."

"Kienah, biarlah dia. Bukan kau tak tahu Ayesha ni. Hujan ke ribut ke, itulah permainan dia."

"Biar? Sekarang ni dah demam. Kalau teruk macam mana? Kau dah lupa pesan famili dia pada kita dulu?"

"Aku ingat. InsyaAllah, lepas dia bangun nanti kita suruh dia makan ubat ya. InsyaAllah dia boleh sembuh."

Ayesha menjadi tanggungjawab kepada Kienah dan Bihah. Sejak Ayesha datang ke Pulau Biru, mereka sama-sama mengejar cita-cita. Kienah, Bihah dan Ayesha teman sedesa. Atau lebih rapat lagi disisip rapi kata sahabat pada hubungan yang terjalin. Antara mereka Ayesha muda dua tahun daripada Bihah dan Kienah. Adakalanya, mereka sangat memanjakan Ayesha. Sudah adat dalam keluarganya, Ayesha anak bongsu dan dikelilingi empat orang kakak yang suka melayan kehendaknya. Namun, Ayesha masih menjaga batas manja agar tidak memualkan siapa-siapa yang dikenalinya.

"Eh, Kienah. Bangun-bangun. Ayesha dah sedar."

"Ha, aa iya." Tampalan koyok yang kejap lekat di kiri dan kanan kepala Kienah dibetul-betulkan. Dia yang baru hendak lena, terjaga dikejut suara Bihah.

"Ayesha, bangun." Lembut suara Kienah. Bihah tersenyum melihat dua sahabat itu seperti berkasih sayang.

"Kienah, tolong aku. Tolong aku Kienah, jangan biar dia pergi. Tolong." Dalam lemah suara, Ayesha meracau-racau. Jari telunjuknya tegak mengarah kepada suatu sudut. Tidak pasti apa-apa yang ingin disampaikannya.

"Ah, sudah! Dia meracau. Teruk macam ni." Bihah mula panik.

"Tenang Bihah. Ayesha, bangun. Bangun Ayesha. Alamak, dia terlelap semula lah."

"Macam mana ni Kienah? Kau lihat, wajah dia tu. Tidur sambil senyum. Risau aku ni!"

Dua sahabat itu kaget, tiba-tiba Ayesha bangkit mengejut. Tubuh yang berbaring kini berposisi duduk. Tangannya mengepal-ngepal kain cadar. Selimut yang menutup tubuh separuh terselak hingga mengeluarkan hujung kakinya. Apa sudah berlaku? Racaunya tidak panjang dengan kata-kata. Hanya air mata pantas membasahi pipi, ibarat hujan petang semalam. Lebat tak berteduh.



nukilah hJ, untuk tatapan kualiti tulisan.

0 lonjakan suara: