Hanna kembali dengan kisahnya. Menyepi agak lama. Maaflah. Kesibukan tugasan, kesibukan masalah, kesibukan dugaan. Melanda segala hari. Itulah hidup. Sukar untuk menanggapi makna, tanpa semua ini. Masalah, dugaan dan cabaran. Namun, segalanya akan dan dihadapi dengan nada syukur. Walau adakalanya terucap keluh. Manusia biasa. Tidak sempurna. Kadang kala jatuh berdebuk. Bangkit kembali. Dengan semangat beribu erti. Ya, hanna.
Hanna, dan family sihat di Villa Kasih. Kak Long juga sihat. Tahu, kalian rindukan usikan dia. Kak Shira juga. Sangat manis dan dengar-dengar sedang bermain cinta. Iyakah? Oups… sekarang hanna jalani kehidupan seperti selalu. Setiap pagi akan ke hospital. Ikut Mak Su, macam biasa hanna akan singgah dahulu ke wad Melati. Wad ibu-ibu yang bakal dan sudah bergelar ibu untuk beberapa kali. Kemudian, hanna ke wad Melur. Wad paling hanna suka. Ada ramai pesakit yang seusia ibu dan nenek. Hanna suka berbual dengan mereka. Pengalaman hidup yang sangat indah dari mereka, adakalanya membuatkan hanna terjentik hati. Dan adakalanya kisah yang sedih, merakam tiap detik kepergian. Oh, selepas ke wad Melur, hanna akan cepat-cepat ke bilik Mak Su, ambil bahan mainan dan gula-gula untuk hanna bawakan ke Wad Cilik. Wad kanak-kanak, yang banyak menyimpan kenangan riang buat hanna. gelak tawa mereka, kesedihan dan segalanya kami kongsikan bersama. Begitulah rutin yang indah.
Tengah harinya, hanna pulang. Makanan terhidang. Oh, mengenyangkan. Terima kasih ibu dan Mak Cah tersayang. Sedap masakan kalian. Kami (hanna, ibu, Mak Su, Kak Shira) kemudiannya akan solat berjemaah. Kadang-kadang Pak Mail dan Mak Cah turut sama mengerjakan ibadah solat bersama. Kak Long hanya akan ikut serta jika dia pulang ke villa bersama familinya. Maklumlah, sejak jadi isteri ni. Mestilah melekat di rumah suami. Kak Ieza pula kalau tak sibuk, dia akan pulang untuk makan tengah hari bersama. Tapi, jarang-jarang dia pulang. Tugas anggota polis ni, sibuk sikit. Lagi pula Kak Ieza berpangkat Inspektor. Pagi keluar lewat malam baru pulang. Bangga punya kakak yang bersemangat seperti Kak Ieza. Hanna pula lebih suka jadi sukarelawati. Tak terikat dengan peraturan. Bebas.
Begitulah sedikit kisah hanna. Untuk diri dan bacaan hanna sendiri. Hanna suka menulis. Hanna suka membaca. Adakalanya hanna membentuk watak hanna sendiri. Hanna boleh jadi watak remaja, watak dewasa dan watak wanita yang matang (tersenyum). Hanna dengan angan-angan yang berguna. Kerana, melalui angan-angan kita boleh berjaya. Tapi jangan angan-angan kosong saja. Perlu usaha juga, ya.
Sekian, dahulu. Khabarnya Kak Long mahu pulang bersama keluarga kecilnya. Keluarga kecil yang bakal bertambah. Kak Long sekarang berbadan dua. Tepat sungguh tekaan hanna, waktu kisah hanna dipaksa ambil buah rambutan untuk Kak Long dulu. Apa pun moga kami sefamili bahagia dengan kesungguhan mengerjakan ibadah dunia dan akhirat. Ya!
Coretan manis hJ
Tuesday, February 9, 2010
coretan manis hJ
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 9:48 PM 0 lonjakan suara
Staccato Perlahan hJ
Berjalan-jalan. Lalu melangkah perlahan. Si dia sedang bertahan. Menahan. Payah kelihatan. Ah, wajahnya tampan. Menahan desakan. Perlahan-lahan. Pawana bertiup. Segar. Menghembus nafas bugar. Si dia sedang enak lena di bawah mentari sinar. Sesekali menutup pandang sinarnya. Dengan selendang merah jambu. halus dan gebu. Bermain-main di kalbu. Berkerut seribu. Perasaan berbaur haru. Perlahan-lahan. Langkah belum berpadu. Si dia memegang tangan. Berpaut janji. Manis menusuk di hati. Tiada terperi. Berbunga di hati. Melihat senyum tak bertepi. Berbisik seri. Si dia riang sekali. Perlahan-lahan. Tusukan pandang menyorot riang. Pada wajah. Dengan senang. Malu. Merah jambu pipi gebu. Rangkul yang erat. Terima kasih diucap. Tanda iktiraf terungkap. Si dia senang tersenyum. Memaut janji. Berpegang madah setia. Pada si kecil di dalam. Si dia berpesan. Agar jaga diri. Jaga peribadi. Kelak membesar. Berguna diri. Bercita-cita yang tinggi. Perlahan-lahan. Erat dakapan hangat. Bakal ibu dan ayah menanti.
hJ
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 3:55 PM 5 lonjakan suara
Monday, February 8, 2010
Liku-liku Seorang Aku by hJ
Pagi-pagi lagi tiada senyuman terhulur.
Pagi-pagi lagi sebuah pesanan panjang terukir menghiris.
Entah kenapa, pagi-pagi lagi begini terjadi.
Aku bingung, langkah longlai, sepi mengatur perjalanan pagi-pagi lagi.
Masa terasa begitu lembam,
Perbuatan menjadi bungkam,
Tiada bahasa yang mampu mengungkap,
Kusam dan terpendam,
Remuk redam,
Diam.
Bibit perpisahan sekali lagi menerjah,
Jauh terbang membawa lara hati,
Entahkan langkah akan terhenti,
Membawa pergi,
Retakan hati.
Duri,
Tajam menikam diri,
Robek segala sukma janji,
Beku,
Menahan pilu,
Sekali itu,
Aku tidak diperlu.
Sayang aku, rindu aku,
Entahkan ada tujunya lagi,
Selain ayah dan ibu,
Yang masih kekal bersemadi,
Menitip semangat kata,
Menyeru doa berjuta.
Pada sujud syukurku,
Aku menyatu,
Pada Allah, tempatku mengadu
Yang kekal dan Maha Mengetahu
Setiap rencana yang dikisarkan,
Tentang aku yang masih di situ,
sendiri berteleku,
mengharung liku-liku.
hJ 5.07pm 090210
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 5:05 PM 4 lonjakan suara
Thursday, February 4, 2010
Diam berisi :)
Diam-diam ubi berisi,
Diam-diam saya berisi juga,
Diam-diam saya bukan sebarang berisi,
Diam-diam saya berisi ilham dan ilmu,
Diam-diam saya berisi kreatif dan imaginasi.
Diam-diam, edit foto…itulah hJ :)
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:31 PM 0 lonjakan suara
Monday, February 1, 2010
bersederhanalah saya

Hangat sungguh malam ini. Tiada langsung rasa riang angin. Entah ke mana hilangnya. Sedangkan kipas laju ligat berpusing. Hanya terdengar desas desus bunyi bilah-bilahnya saja. Hampa.
Berpeluh. Baju yang dipakai hampir basah. Titis-titis kecil air di tubuh, semakin merebak banyak. Rasa melekit badan.Langsung tidak selesa. Terhenti seketika, tulisan esei Undang-undang dan Ketatanegaraan Melayu. Sempat 2 muka surat sahaja.
Imbas kisah tengah hari tadi. Bayar yuran, rupa-rupanya semakin mendadak naik. Lepaskan juga wang tak seberapa dalam akaun. Dan begitulah yang tinggal. Sekarang, stok makanan untuk waktu malam seperti roti, biskut dan serbuk minuman kena sedia. Langsung itu sahaja yang dimakan malam-malam kebelakangan ini. Syukur, masih ada makanan. Amin.
Kemudian, jalan-jalan di Pusaneka. Terhenti sejenak, melihat ruang itu dipenuhi aktiviti jual dan beli. Masih ada karnival lagi. Kali ini karnival Anak Negeri Sembilan berlangsung. Hanya meneliti beberapa helai selendang yang sudah lama diidamkan. Melihat dan berlalu pergi. Cantik. Hampa. Hanya sehelai anak tudung yang dibawa pulang. Jalan-jalan lagi, teruja melihat gerai jualan buku-buku. Ada novel, genre motivasi dan kisah-kisah pahlawan. Teruja hanya pada hati dan senyuman. Teringat kisah pergi bayar yuran tadi. Letak semula buku yang dipegang. Rasanya belum mampu untuk membelinya. Tak mengapa, masih ada banyak jumlah buku yang rasanya segar lagi untuk dikhatamkan. Buku-buku dalam bilik.
Sekarang, masa untuk berjimat. Sekali sekala, rasa nikmat seperti insan-insan kurang bernasib baik. Semakin insaf diri. Makan sederhana, cukuplah sekadar alas perut dan jangan terlampau kenyang. Nanti malas pula.
Sedikit coretan hari ini. Tiba-tiba perut diminta isi. Berbunyi-bunyi pula. Menu apa pula di tengah malam ini? Ah, mungkin pagi esok sahaja. Terkilan pula jika waktu singkat ini, makanan habis untuk satu detik sebelum tidur. Tahanlah. Minum air saja.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:53 PM 6 lonjakan suara
Sunday, January 31, 2010
Dialog Kurang Senang...
Duduk-duduk.
Tak mau.
Duduklah.
Tak nak.
Duduk!
Tak…
‘Eh, kenapa tu?’ terdengar suara-suara bisikan bertanya.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 7:25 PM 0 lonjakan suara
Inikah akhirnya?
Adakah ini jalan akhir? Sekali lagi aku ditinggal pergi. Disisih jauh daripada insan yang aku sayang…
Tuhan, kepada-Mu aku membawa diri. Doa-doaku masih kurang untuk dimengerti. Aku masih belum jadi hamba-Mu yang baik. Masih jauh jalanku untuk aku perkukuhkan rasa insaniah dalam diri. Tuhan, aku perbaiki setiap hari diri ini. Aku muasabah setiap detik hati ini. Selalu mendekat pada-Mu. Bacaan kitab suci-Mu yang aku laungkan, juga masih belum bisa menguatkan doaku. Tuhan, tidak akan aku putus asa. Aku akan tetap berdoa dan bermohon daripada-Mu. Aku tahu, dugaan-Mu kini kuat untukku. Akan aku laluinya, dengan jitu. Hanya kerana-Mu Ya Allah.
Atas dugaan ini, aku redha. Jika itu pintanya. Aku rela. Aku merayu dalam diam. Agar masih ada sisa rasa sayang untuk diriku. Pergilah, tenangkan segala dukamu. Maaf, aku terlalu buat dirimu dilanda duka selalu. Bukan pintaku. Hanya keadaan yang merampas segala kemesraan kita. Entahlah, apa lagi bicara yang boleh betulkan keadaan ini. Segalanya telah aku luahkan. Moga masih ada rahmat dalam hubungan ini.
Tuhan, aku berdamping pada-Mu selalu. Aku perbaiki diriku hanya untuk-Mu. Terimalah doaku, hamba-Mu yang hina ini. Atas tangisan hati, jalinkan hubunganku sesama makhluk-Mu dengan baik dan tiada sengketa. Sendirian ini, aku jalani dengan tabah. Sendirian ini, aku harungi dengan kuat. InsyaAllah. Amin.
Terima kasih memberi aku rasa sayangmu. Terima kasih atas budimu. Terima kasih menghargaiku. Terima kasih segalanya. Moga ada ketenangan padamu. Amin.
Hanya aku ingin kau tahu, tiada berkurangan rasa sayangku padamu.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:38 AM 0 lonjakan suara
Friday, January 29, 2010
Mengharap cerah arah

Alhamdulillah, tiba jua hari Jumaat. 29 Januari 2010. Hari ini, dugaan semakin berat. Hari-hari belakang yang penuh dengan jerit amarah. Diri semakin bingung. Mungkin kerana celaru. Fikiran kusut dengan timbunan tugasan ilmiah. Entah mana yang mahu dimulakan dahulu. Berharap selepas luahan ini tamat, akan ada keredaan dan mula menunjukkan perubahan. Lebih baik.
Pada saat ini, hati menjadi sayu. Sambil menulis, sambil telinga mendakap lagu yang sayup. Membawa arus halwa. Sentuhan pawana juga turut menyentuh kalbu. Tiada riak gembira. Titis air mata seakan-akan mahu mengalir. Hanya berkumpul. Belum lagi mahu tertuang dan tumpah.
Mata dipejam. Tiada titisan mahu turun. Hati meratap. Pada potret wajah ibu, penglihatan ini terhenti lama.
Emak,
Along sedih. Tapi Along tak sampai hati nak beritahu emak. Dugaan dan masalah yang sedang bertakung. Along hilang arah. Celaru fikiran Along. Tak mampu Along nak luahkan pada emak. Along tak mahu emak risau. Along mahu emak sentiasa bahagia. Petang tadi, Along terpaksa bohong pada emak. Along kata Along tiada masalah. Hanya tugasan ilmiah yang membebankan hati dan minda. Di sebalik itu, ada lagi masalah lain. Maafkan Along, mak.
Ayah,
Terima kasih kerana cepat menangkap suara Along yang tak keruan dalam telefon. Along akan cuba mengelak dan takkan biar ayah terkesan dengan suara cemas Along. Masalah ini, Along akan cuba atasi sendiri. Ayah, Along rindukan ayah dan mak. Along rindu adik-adik juga.
Adik,
Terima kasih. Akak sayang adik dan abang.
Abang,
Terima kasih. Akak sayang abang dan adik.
Insan-insan, maafkan keterlanjuran saya yang cepat meluah rasa marah pada kalian. Maafkan saya, tidak keruan dengan keadaan. Maafkan saya, tidak cuba mengekang rasa amarah. Saya terus saja jadi bingung. Insan-insan, saya sayang kalian.
Kakak, adik sayang kakak. Maaf, tiada langsung niat untuk menyebarkan amarah ini. Adik sayang kakak selamanya.
Kini, masih menanti luahan air mata jatuh. Biar seketika, pergi dan tenangkan diri. Tak mampu lagi mahu bertarung dengan amarah yang kuat ini. Amarah, pergilah…..Pergilah. Berikan kembali diriku yang dulu. Aku yang tenang dengan dugaan.
Tuhan, kembalikan aku kepada sifatku yang tenang. Hilangkan amarah ini. Mungkin, ini petanda awal pemberian rahmat-Mu atas setiap wanita, namun berikanlah aku kawalan amarah yang baik. Aku terlanjur menyisipkannya. Hingga ada hati yang terluka. Maafkan aku Ya Tuhan. Berilah kelembutan pada setiap hati yang terasa pada amarahku, agar aku tenang dalam kemaafan mereka.
Itu sesungguhnya, aku harapkan daripada-MU. Amin.
untuk itu, akan aku harungi sendirian kembali. Terima kasih Tuhan, beri aku peluang mengenal diri dan menghargai hati, hanya kerana-MU.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 9:52 PM 2 lonjakan suara
Thursday, January 28, 2010
'sudah ada peminat?'
Salam manis untuk hari ini. Moga lebih baik setiap yang berlaku daripada semalam. Sedikit bicara tentang semalam. Tidak beberapa baik apabila menjelang malam. Keadaan perut tidak selesa, sakitnya kepalang terasa. Akibatnya, mood dan perasaan terganggu habis-habisan. Entah berapa kali minyak YU YEE dituang dan disapu pada perut. Mata pula sakit memandang gelagat irama ahli-ahli rumah yang tidak sekata. Terluah kata-kata bisa di mukabuku. Maaf andai sesiapa yang terasa. Tetapi, bagus juga lakuan begitu. Masih ada yang terkesan dan berubah kepada lebih baik dan mengikut peraturan.
Habis kisah semalam, hari ini pula. 28 Januari 2010. Proses mengundi dan sesi pilihan raya berlangsung. Syukur, aman terasa. Tiada kekacauan berlaku. Sudah memilih kepada yang sepatutnya. Moga pentadbiran berlaku dengan lebih baik lagi. Untuk masa akan datang dan seterusnya.
Dalam masa yang singkat, berada di luar. Luar dari dalam bilik, tetapi masih dalam kampus. Teruja dan rasa dihargai apabila ada insan yang mengenali diri ini, walaupun saya sendiri tidak mengenalinya. Karya dan hasil kemenangan dijadikan bukti saya dikenali, itu kata-kata dari bibirnya. Alhamdulillah. Ada juga insan yang mengatakan kepada rakannya, ‘ini, bakal penulis terkenal.’ ‘wah, sasterawan negara datang.’ Ukiran senyum melebar. Dalam hati mengucap syukur yang panjang. Itu satu doa yang sentiasa saya aminkan. Terima kasih kalian yang mengenali diri ini. Sesekali berjalan dan melangkah terfikir seperti ‘sudah ada peminatkah?’ Moga, pujian ini banyak membantu dalam perkembangan aktiviti penulisan supaya lebih bermutu dan berilmu. Moga pujian ini juga tidak melalaikan, namun lebih mengharapkan sentiasa kekal di jalan Allah. Agar ilmu yang ditaburkan melalui penulisan ini, benar dan bermakna. Hanya kerana Allah. Amin.
Setakat tengah hari ini, itu yang berlaku. Mengharapkan hal-hal yang lebih baik selepas ini. Dengan izin-Nya. Amin. Wasalam.
hJ
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:56 PM 0 lonjakan suara
Wednesday, January 27, 2010
Sukarnya memejam mata. Petang tadi, habis 4 jam disapu untuk tidur. Tidak mengapalah, atas nasihat doktor, perlu berehat. Tubuh tidak sihat. Itu ubatnya.
Terlalu berkejar dengan aksara pelbagai. Bacaan juga jadi banyak. Tidak mengapalah, apabila hati dah suka. Turutkan saja. Itu juga perkara baik, bukan biasa-biasa. Ilmu semakin bertambah hendaknya.
Sesekali menulis, sesekali menjeling. Tajam mata mencerun pada jarum jam. Ah, 2.20 pagi. Esok, kuliah tutoran jam 1 hingga 2 petang. Kerana mahu lebih mendalami isu yang dibincangkan, awal-awal lagi sudah meminta izin pensyarah untuk masuk ke kuliah tutoran 1 iaitu pada jam 12 hingga 1. Alhamdulillah, pensyarah katakan ‘boleh…boleh…’
Jam 2 pula ke PTSL, melihat seorang teman. Bantu dia mentafsir puisi. Apa-apa saja lah nanti. Akan keluar segala istilah bahasa dan sastera. Harap dapat membantu dengan sedikit ilmu yang ada. InsyaAllah. Amin.
Setakat ini perlunya, mungkin bersambung esok dengan kisah baru. Mata, lenalah. Dalam dakapan senyummu.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 2:27 AM 0 lonjakan suara
Tuesday, January 26, 2010

26 Januari 2010. Mungkin dalam masa 3 atau 4 pagi. Mungkin. Tiba-tiba berada di lapangan terbang. Membawa sebuah beg tarik. Istilah biasa. Setiap seorang. Hala tuju pada awalnya gembira. Sanak saudara menghantar dakap dan salam. Rianglah perjalanan.
Pulangnya dinanti. Hingga detik pagi, dan mentari mula curi-curi bersinar. Bayangnya langsung tiada. Apatah lagi beg yang ditarik. Senyumannya juga turut hilang. Hanya ekspresi wajah yang diimbau kenang. Ke mana dia? Dia ke mana?
Apakah tafsiran pada mimik kisah ini? Interpretasinya juga mahu dinilai berapa? Kemunculan yang hiba seperti bakal tiba. Persoalan juga mencurah-curah. Kisah ini masih tiada yang lengkap. Seperti yang membaca. Aku juga tertanya-tanya. Tentang makna dan curahan rasa.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 3:40 PM 0 lonjakan suara
angan-angan semalam

Semalam lena berdua. Dalam angan. Mimpi yang tercipta. Bukan dipinta. Datangnya diterima.
Tulis bicara semalam. Bukan kisah sebenar. Hanya menurut kata minda. Meruntun irama tari jemari. Menjalar menikam telapak aksara. Biarlah. Bukan ada salahnya.
Sekarang, turut melirik senyum. Aksara ini masih mengikut irama jari dan seni lenggoknya.
Berdua, belum tiba masa seerat itu. Belum masa bersama lagi. Mencari zat ilmu sejati. Di mana-mana kalau bertemu, mungkin tidak pada pandang mata. Kerana hati masih diikat Tuhan, kerana belum tiba masanya.
Apabila berselisih. Tiada tegur sapa. Masing-masing bersama tujuan yang ditetapkan Tuhan untuk tidak mengenali. Biarlah, ikut arus. Jangan songsangkan arus, ada padah yang menanti hiba.
Jejak keras, langkah tidak lelah. Suka dan bahagia. Hidup begini sementara. Nanti pula, bila sudah tikanya, bersedia seadanya. Ya…
“Panjang, tersenyum. Hulurkan tangan. Mari berdakapan. Ilmu yang membawa kita ke hadapan. Benar dan bermakna. Itu niat dan harapan.”
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 9:09 AM 0 lonjakan suara
Hanya Lena dan doa asmara
Sudah jam 12.07 pagi. Mata seperti ini. Segar bugar sekali. Ah, ilham masih belum datang. Ke manalah ya? Sendiri bertanya. Seketika,
“Kita tidur, ya. Mari.” Pujuknya lembut. Mata melirik manja, meminta sedikit detik lagi diberi untuk mencurah rasa.
“Baik. Tunggu hingga selesai.” Terima kasih, memahami saya. Seadanya dan penuh kasih sayang. Rambut dibelai halus, dikucup lalu rebah di atas pembaringan.
Helaian novel Ilham Hati karya Damya Hanna, jadi tatapan mata sebelum lena. Sudah setengah bab dibaca. Indah sekali dia. Kelihatannya tersenyum, dan adakalanya terseksa menanggung rintihan Rian, watak utama dalam karya itu.
Beberapa helai lagi diselak. Bacaan jadi semakin rancak. Terdengar dengusan kecilnya, mungkin marah apabila jalan cerita tidak menepati rasanya. Alangkah mesra wajahnya. Tatapan kecil pada ruang mata.
“Sayang.”
“Eh, bila sampai?” Pertanyaan yang cukup panjang. Tidak mengapa, memang patut dia bertanya. Datang dengan undangan yang lambat.
“Novel tu? Mari.” Dia tersenyum. Menghulurkan novel itu atas permintaan. Diletakkan rapi di atas meja sebelah katil beradu. Tangannya menampar lembut bantal untuk dihidangkan pada kepala. Selimut ditarik menutup separuh tubuh.
“Alangkah.” Kami lena dalam dakapan suci. Nada kalam Tuhan, doa untuk lena sama-sama diaminkan. Pejam mata, sambil tangan menggenggam setia. Dengan izin-Nya, esok bakal ada untuk kita. Amin.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 12:29 AM 0 lonjakan suara
Sunday, January 24, 2010
Puisi Untuk Abang, ‘Selamat Hari Lahir ke-16’ (25 Januari 2010)
Puisi Untuk Abang, ‘Selamat Hari Lahir ke-16’
(25 Januari 2010)
Abang,
Selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke-16,
Selamat berjuang untuk hidup yang mendatang.
Abang,
Di hari lahirmu ini,
Kakak ingin berpesan,
Selagi ada hayat,
Ingatlah nasihat kakak ini.
Abang,
Bila kakak dah tiada,
Jagalah mak dan ayah,
Dengan penuh kasih sayang.
Abang,
Bila kakak dah tiada,
Kasihlah adik dengan selaut rasa sayang.
Tapi abang,
Sekarang kakak masih ada,
Kakak takkan biarkan abang seorang,
Sama-sama kita bahagiakan,
Mak, ayah dan adik yang kita sangat sayang.
Abang,
Ingat pesan kakak,
Bukan kakak mahu berleter,
Hanya mahu kita sama-sama hayati.
Abang,
Solat itu tiang agama,
Doa itu penyuluh suka dan duka,
Selalulah solat dan berdoa,
Moga tenang dan terang,
Jalan hidup abang.
Abang,
Sayanglah mak dan ayah,
Jangan lagi buat mereka marah,
Selagi mereka ada,
Itulah tempat abang bermanja,
Ingat masa abang ditimpa celaka,
Luka di badan sini dan sana,
Emaklah yang bersengkang mata,
Mengubati luka,
Ayahlah juga yang membawa abang,
Bertemu doktor.
Abang,
Selagi kakak dan adik ada,
Selagi mak dan ayah ada,
Abang bahagialah bersama-sama,
Lupakanlah ego dan amarah,
Janganlah lagi berlumba,
Jadilah anak dan adik yang bercita-cita,
Jadilah insan yang berguna,
Di mata dunia dan akhirat juga.
Abang,
Akhir pesan kakak,
Ingatlah,
Tidak selamanya kita di dunia,
Tiba masa,
Kita akan pergi meninggalkan dunia,
Ke mana kita selepas itu,
Hanya diri jadi penentu,
Bersama amalan yang dibina,
Ke Syurga kita mahunya.
Kakak yang sayang abang,
Hasni Jamali.
p/s: Puisi ini sempat saya deklamasikan dan jika ada yang mahu mendengar secara langsung daripada nada suara ini, bolehlah letakkan email di petak komen. Terima kasih kalian yang sudi mendengar dan menghayatinya.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 5:15 PM 2 lonjakan suara
Saturday, January 23, 2010
23 yang indah.
Alhamdulillah, Allah masih beri saya peluang untuk menghirup nafas segar alam. Syukur, saya masih berada di dunia pada usia 23 tahun. Moga kehidupan yang mendatang semakin diberkati Allah. Amin.
Bermula detik jam 12 dan datangnya 22hb Januari 2010, kakak memanggil dari talian brunei. Maaf, adik sedikit keletihan dan mengantuk. Mungkin layanan yang diberi kurang selesa pada pendengaran kakak. Entah kenapa mata sangat mengantuk, dan rasa mahu lena yang mengganggu ruang fikiran. Terima kasih kepada kakak, yang sudi bertahan dengan karenah adikmu ini. Walaupun adakalanya, merajuk menguasai kita, namun bebaskannya dengan segala kemaafan, dan memahami kelemahan insan lain. Sayang kakak.
tiba-tiba pintu bilik diketuk, Kak Nana dan Syikin datang dan menghulurkan burger ayam sebagai jamuan malam hari lahir. terima kasih kalian.
Kemudian, diiringi segala pesanan ringkas, daripada ayah, mak, adik-adik, sepupu dan rakan-rakan sekalian (seperti tulis ucapan alu-aluan pula)…Terima kasih kalian yang tidak putus-putus mendoakan saya bersama ucapan hari lahir yang dikirim. Tidak tinggal juga ucapan yang dikirim oleh famili dari Brunei (keluarga Boboy, Atiqah, Kak DIDI, Kak Rayda, Kak Hajah ROzi, dan adik-adik di fb) Terima kasih kalian. Rindu mahu pulang ke sana. 
Tidak habis deringan telefon, facebook memainkan peranan. Kiriman ucapan hari lahir juga tersiar di sana. Rakan-rakan jauh dan dekat, yang lama dan yang baru sama-sama menghargai saya dengan ucapan kalian. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kerana segala yang lahir dari hati anda merupakan doa untuk saya terus maju melangkah masa depan.
Di facebook juga, kiriman ucapan daripada editor, penulis dan pensyarah turut meraikan suasana hari lahir saya. Terima kasih Kak Sally (Salina Ibrahim), Kak Jas (Siti Jasmina Ibrahim), Mbak Anggie D.WIdowati (penulis Indonesia) dan En.Zubir Idris. Ucapan doa kalian akan terpahat di hati ini, dan berusaha untuk terus maju.
Hari lahir saya disambut sederhana, tidak pernah sebelum ini membuat apa-apa majlis atau ‘Party’. Keluarga saya mengajar kami hidup bersederhana. Biasanya, apabila menyambut hari lahir di rumah, cukuplah sekadar ibu dan ayah mengucapkannya, adik-adik juga mengucapkan selamat hari lahir, lalu kami bersalam-salaman. Hadiah? Tidak penting bagi kami, kerana hadiah paling besar ialah doa. Dan sedikit jamuan makan antara keluarga diadakan (biasanya lauk-lauk yang dimakan sehari-harian juga). Syukur ke hadrat Ilahi, mengurniakan saya famili bahagia ini. Moga kami terus kekal di landasan-Mu Ya Tuhan. Amin.
Hidup di kampus pula, berkat punya kawan-kawan yang baik, hari lahir ini disambut dengan kek dan doa. Bersama Syikin dan Ela, saya panjatkan kesyukuran atas kurniaan Ilahi memberi saya kawan seperti kalian. InsyaAllah, sanggup bersama susah dan senang. Moga kita terus kekal bersama menjalin hubungan persahabatan ini.
Hadiah paling bermakna, selain daripada pemberian Kak Nana iaitu seutas rantai ala-ala Mak Datin (suka sangat, cantik dan berkilau) dan daripada Syikin iaitu kotak tulis, kerongsang dan penyangkut bulu-buluan( istilah sendiri) yang kecil molek digantung di handphone , hadiah paling istimewa ialah lirik lagu yang ditulis untuk kanak-kanak austisme diterima oleh kak Hajah Rozi selaku penerbit rancangan dokumentari tv, dan puisi Takkan Sirna tersiar dia majalah Dara.com februari 2010. Alhamdulillah, berkat doa semua dan usaha yang saya bimbitkan, akan saya teruskan berkarya. Lalu menyebarkan ilmu yang bermakna untuk tatapan pembaca. InsyaAllah, akan saya jalani hidup ini penuh rasa tawaduk dan kekal di jalan Allah. Amin.
Malam pula, masih hangat deringan telefon mengucapkan doa hari lahir oleh Mak Nah dan Iman FaiQ…terharu dengan nyanyian Iman yang petah bercakap walaupun belum berusia 3 tahun. Nyanyian ‘Happy Birthday to you’ dilagukan dengan pelatnya. Buat saya tersenyum. Akhir pesannya, ‘Ayong dedek, nanti belanja Iman makan kek ea…’ Memang buat saya tersenyum. Nama manja saya pada bibirnya ialah Ayong Dedek. :)
Terasa sudah panjang tulisan hari ini. Tulisan hari lahir, moga membawa erti yang
indah untuk jalani hidup di dunia, dan akhirnya dapat membawa bekal yang cukup ke akhirat nanti. Alhamdulillah, dan syukur pada Allah. Amin.
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 11:50 AM 2 lonjakan suara
Thursday, January 21, 2010
Berteman insan-insan alam juga
...Dah lepas, dah lama juga. Filem DE TAALI, dan filem lain-lain yang pernah saya tonton. Temanya persahabatan. Dan baru-baru ini LONDON DREAMS. Persahabatan yang erat. Sangat rapat. Adakalanya saya cemburu melihat mereka diberikan watak yang amat rapat sekali. Dalam filem, kita teringin segala-galanya yang mereka ada. Tetapi, hanya mahu dan berkehendakan saja dan sedikit berharap.
...Sebenarnya apa yang saya cuba sampaikan ialah. Sendirian. Hingga kini saya punya ramai kawan, tetapi kawan rapat dan erat tiada. Saya sentiasa harapkan. Sekarang di UKM, tahun tiga dan semester akhir. Lebih banyak masa saya habiskan bersendiri. Ke mana-mana jika rasa mahu ditemani, saya akan cuba sms atau call kawan-kawan, mungkin ada yang sudi menemani. Tapi, dalam peratus harapan, saya hanya meletakkan 40 sahaja. Tak mahu berharap terlalu tinggi. Saya akan amalkan frasa ini, 'Hanya sms atau call, jika ada yang sudi bertemanlah hari itu, jika tiada...saya sendirian juga.'
...Saya meluahkan ini, bukan untuk dikasihan atau simpati. Sengaja meletakkan rasa curiga akan sendirian yang diberi. Curiga yang positif, bukan meragui. Adakalanya, bersendirian membuatkan saya senang ke mana-mana, bersendirian juga mengurangkan percakapan saya, bersendirian juga membuatkan saya menaruh rindu pada insan-insan tersayang yang amat mendalam. Itu mungkin kelebihan. Saya meletakkan 'mungkin' kerana saya sendiri tidak pasti sama ada saya bahagia atau sebaliknya.
...Menikmati rasa sendirian, saya menulis dan saya membaca. Saya memerhati gelagat insan, lalu melakar kisah imaginasi ke dalam tulisan saya. Sendirian menjadikan saya lebih peka terhadap apa-apa yang bakal berlaku. Sendirian, ke mana-mana tanpa ada yang di kiri dan kanan. Tetapi, saya tetap menghargai setiap insan yang sudi menemani dan kepada insan yang akan bersama saya jika masa mereka ada untuk saya. Terima kasih sebagai penghargaan kalian.
...Sendirian juga merelakan hati saya jauh terbuai dengan kata-kata dan madah yang sesetengahnya menyatakan 'jiwang'. Namun hakikatnya, saya hanya meluahkan apa-apa yang saya rasa dan jauh berada di sudut hati mahukan apa-apa harapan yang wujud dalam bait-bait yang tercoret. Moga harapan indah bertukar kepada realiti yang membuahkan bahagia. Dengan izin-Nya. Saya tidak akan mengeluh sendiri lagi, kerana saya semakin dekat dengan Dia. DIa Maha Mendengar setiap kali saya berbicara sendirian. DIa juga Maha Mengetahui dan Maha Melindungi. Saya tidak sendirian lagi.
...Itu sahaja yang terluah. Kini saya ditemani hujan lebat di luar halaman. Moga mentari hangat kan muncul pula berganti untuk menemani saya. Dengan alam juga saya tidak lagi rasa sendirian.Terima kasih Tuhan. Walau ke mana-mana aku sendiri, Kau masih menyediakan aku dengan makhluk-Mu yang lain seperti alam hijau yang indah terbentang, dan langit biru yang tersergam. Alhamdulillah.
hJ
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 2:21 AM 1 lonjakan suara
Wednesday, January 20, 2010
Sketsa 1.2
Di atas jambatan yang menghubungkan tanah rata dan tanah tinggi. Jambatan kecil masih utuh lilitnya, duduk termenung Min seorang diri. Sambil menanti Hanna, teman baiknya sejak kecil lagi. Pertemuan kali ini mungkin mahu dibincangkan tentang gusar dan gundahnya hati Min. Min masih merenung air sungai yang mengalir perlahan di bawah jambatan kecil. Ada riak kecil yang terhasil apabila anak-anak ikan bermain-main di dalamnya. Sedikit pun tidak mengganggu penghayatan Min.
Seketika dan tiba-tiba,
"Asalamualaikum. Jauh termenung?" salam hanna tidak berbalas.
"Oi, Min!"
"Eh, aku dengarlah! Tak payahla jerit!"
"Dengar ke? Tak jawab salam aku pun."
"Dalam hati. Apa pasal kau lambat?"
"Jalan jam lah."
"Banyaklah kau punya jam."
"Iya. Dah kau nak jumpa masa macam ni. Sekarang ni masa anak-anak ayam, anak-anak itik dan anak-anak angsa Pak Abu lintas jalan. Lepas tu, layan anak-anak lembu Rajoo lintas jalan juga. Memang jam lah."
"Alasan loyar buruk kau ni hanna, tak beri kesan pada aku. Sudahlah."
"Eh, janganlah marah. Betul. Tak tipu. Eh, apa hal sedih-sedih ni?"
"Baru sekarang nak tanya? Ish."
"Yalah-yalah. Maaf ya. Ceritalah. Kenapa? Biar aku teka. Pasti fasal Kak Sheen kan?"
"Iya. Entahlah. Sekarang ni semakin berlarutan pula."
"Maksud kau?"
**************************************
"Macam itulah kisahnya. Kalau alat penguji kehamilan itu positif, apa pulalah yang akan berlaku lepas ini."
"Itulah. Kenapa kau tak minta keputusan itu daripada kakak kau saja? Kotak alat itu, kau buang di mana? Jangan buang merata-rata, habislah kalau orang lain pula yang jumpa."
"Kotak alat tu aku dah pulangkan pada Kak Sheen. Tak kuasa aku nak tanya. Masa tu fikiran aku celaru. Dahlah aku tengking Kak Sheen. Rasa menyesal pula."
"Iyalah. Tak patut kau marah-marah Kak Sheen. Sepatutnya kau bantu dia."
"Itulah."
"Kau kena minta maaf dengan Kak Sheen, okey."
***************************************
"Eh, hanna! Apa hal kau tersenyum-senyum ni?
"Tak. Takde apa-apa."
"Kau ni. Cakaplah!"
"Aku nak tanya kau, boleh?"
"Tanyalah. Apa?"
"Kenapa kau takut sangat hal kehamilan Kak Sheen, ya?"
"Mestilah aku takut. Nanti apa pula kata orang kampung?"
"Kata orang kampung? Mereka nak kata apa pula?"
"Eh, kau ni hanna. Kan tak baik kalau kehamilan tu tanpa su..."
"Su... apa?"
"Suami. Eh..."
"Ha! Kau dah lupa ya? Bukankah dulu Kak Sheen lari dari rumah sebab dia nak kahwin tapi ibu kau tak relakan? Kau dah lupa?"
"Haahlah. Eh, macam mana aku boleh lupa ya?"
"Kau ni Min, hal penting macam ni pun kau boleh lupa."
"Iyalah. Huh, lega hati aku."
"Lega? Kau jangan lega dulu. Kau dah minta maaf pada Kak Sheen?"
"Err...belum."
"Pergi minta maaf dulu. Lepas tu boleh lah kau rasa lega, puas dan lain-lain ya. Dan, tahniah!"
"Tahniah?"
"Yalah. Bakal jadi Mak Cik! haha...semakin tualah pangkat kau Min! haha..."
Mereka berkejar-kejaran. Ada rasa lega pada hati Min. Entah bagaimana dia boleh lupa kisah sepenting itu. Sheen dahulu terlalu liar. Hingga sanggup lari meninggalkan rumah, kerana seorang lelaki. Ketika meninggalkan rumah, Sheen sudah menjadi isteri kepada lelaki bermisai itu. Hanya itu yang dikecam oleh Min apabila ditanya Hanna. Tiada nama yang mampu disebut.
Merah padam muka Min mengejar Hanna yang agak laju lariannya. Telatah mereka seperti anak kecil yang keriangan hingga tidak sedar kejaran mereka membahayakan diri masing-masing. Sekejap di tengah jalanan, sekejap lagi di tepi tebing sungai. Mereka masih berlari. Kali ini Min pula di hadapan, Hanna mengejar. Min berjaya mencubit paha Hanna. Tidak akan hanna lepaskan kejayaan Min itu. Padu Min lari, hanna makin galak mengejar.
"Min!!!!!!!!!!!!!!!!! Ya, Allah!"
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 10:21 PM 0 lonjakan suara
Labels: Sketsa 1.2
hadiah untuk abang, 'rangkullah tubuhnya dengan teruja'
semalam yang lapang,
aku berjalan-jalan sendirian,
ah, memang biasa begitu,
aku sendirian.
Semalam yang lapang itu,
terkesan aku pada pandang pertama,
aku gapai dengan sentuhan,
yang paling lembut,
tidak sekelumit pun aku minta dan tawar harganya,
kerana aku tahu,
dia sangat berharga,
dan tidak perlu ditolak tambah.
Aku pegang tubuhnya,
aku perhalusi liuk keletahnya,
aku kagum,
aku bangga,
dan aku teruja.
Syukur juga,
Aku masih punya daya memilikinya,
dia tidak berkata apa-apa,
saat aku pegang dan perhalusi tubuhnya,
dia juga rela kau perlakukannya begitu.
tetapi,
dia bukan untukku,
aku hanya menjamah sedikit rasa tubuhnya,
ah, enak sekali,
aku akan dapatkannya lagi untuk diriku sendiri,
dan yang ini,
akan aku hadiahkan untuk tatapannya.
Tatapan insan yang aku sayang,
bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-16,
Adikku yang kugelar abang,
moga abang menjadi impian dan harapan kakak, ayah, mak dan adik.
Moga,
kakak berharap tubuh dia yang bakal kakak hadiahkan nanti,
abang selongkar penuh rakus dan teruja,
seperti kakak.
dan pada akhirnya,
kita titipkan bersama,
keinsafahan pada diri dan hati kita,
lebih menyayangi bonda tersayang.
hJ
lakaran tinta oleh hasni Jamali detik 3:17 PM 0 lonjakan suara






