BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 15, 2008


mulanya sebuah kisah.... cakna puteri dan puteri jua....merebut kasih yang tiada bersudah....menjadi hamba dan mangsa.....sehingga tercipta tinta hikayat.....wahai Sia wahai Tia...... merenung kelopak mawar, menghidu pawana.....harum mekar, merah menyala.....dihitung purnama datang bersilih.....membenak racun atau penawar.....Ya, kisah bermula.

11 lonjakan suara:

Chempaka Aizim said...

jantan keturunan arab menjadi impian... tidak sedar kedua puteri jawa ini bahawa diri mereka tidak setanding... menagih sehingga memakan diri... mahu dihirup tirani, tidak mahu meniru telatah Romeo. Kerana mereka tahu... Wira di dalam hikayat ini tidak akan sebodoh Juliet. ah! masih keduanya kehilangan di dalam sepi malam...

hasni Jamali said...

"kanda Sia, mengapa bermenung durja? apa yang sedang diratap kanda?" rupa gemawan bertukar hiba...sambil menyoroti jemari di sisi tubuh.
"Tia, ke mana mahu kanda bawa haluan, jika dia, suami kanda, tidak lagi pulang? Layarnya dikhabarkan masih jauh. Bagaimana kanda mahu jalani bersama bakal si kecil ini nanti." Tia mengukir senyum manisnya. Kemudian berubah duka jua.
"Ya, kanda. jika suami mu di rantau sana, ikatan sah kanda dan dia masih terjalin mesra. Si kecil ini buktinya. Hal saya pula, mengapa masih jauh pandangan dia terhadap saya? Tia di sini sudi meletihkan diri, namun dia....."

Chempaka Aizim said...

Tia memanah pohon cemara dengan sekelumit rahsia. iya..sebuah rahsia antara Tia dan Sia. hanya kekanda saudaranya sahaja yang mengerti, sementara kekanda kekasih masih lagi membisu, dungu membaca ramalan. bujukan bertukar dari pihak Tia kepada Sia. senyuman didermakan pada Tia. Sia memahami ratapan neng saudaranya. sebagaimana kasihnya pada sang kesuma dewa, putera arab itu berkelana tanpa berbekalkan kebimbangan tentang sang puspa kencana dan dagingnya di dalam jasad cintanya..

hasni Jamali said...

"Tia, mari kita ke dalam. Membantu bonda yang tidak lekang di dapur. Dia sepatutnya paling kita hargai, ya!? Mari." Dua hawa melenggok sayu. keduanya menagih kasih yang ditinggalkan. Hati Sia sedikit hibur tatkala si kecil bersenda dalam tubuhnya. Namun Tia. kasih Sia juga diharap mengubat sepi. Bonda juga, penyembuh luka rindu mereka.
Berdua campur bonda, mereka bersenda seketika. Sepi gelisah sirna sekadar itu. "Kanda Sia? Mengapa? Sakitkah? Maafkan Tia." Sia sedikit berkerut dahi. Menahan geseran siku Tia di kantung berisinya si kecil itu.
Sia berlalu sonder bicara. Bonda cuba membantu. Namun tangannya dihalang ke tepi. Tia bingung...Resahnya membatu, bagaimana jika Sia benar-benar tidak mempedulikannya....

Chempaka Aizim said...

Tia beralih ke kamar miliknya, yang dahulu dikongsi bersama kekanda saudara. ah! ruang itu terasa sempit sonder gurauan sang kedua puteri. Sia.. bakal menikmati nikmat berfamili, bakal dicemburui olehku, namun bagaimana pula keadaan diri ini? Tia bermain teka-teki di dalam diri sendiri. sang kekanda kekasih masih lagi dinanti. putera arab itu juga terus bermain teka-teki. arakian sesal menghambat Tia, kelibat nenda kebayan yang muncul dlm mimpi mampir ke ruang matanya. "sedari dahulu lagi nenda memujuk puteri untuk menerima sakti ini. bukankah elok bila tuan puteri mendengar bisikan sukma seseorang?" bayangan nenda kebayan hilang mengikut bayu. takut. Tia tidak mahu kuasa itu. walau cara itu sahaja memampukannya melihat atma kekanda-kekandanya, namun dia memilih untuk berdiam diri. kanda saudara sudah menceritakan segalanya. hanya kanda kekasih sahaja yang melebarkan tanda tanya...

hasni Jamali said...

Seketika, terlihat tirai kamar Tia diselak. Sia datang menghampiri. Lemah saja lenggoknya. Tia membantu kakandanya yang dilihat agak sukar untuk melabuhkan punggungnya. Tia senyum, nikmat begini sangat dinantinya. Tapi entah bila. Mengenangkan kasih hatinya yang enggan memberi kata putus. Tia mematikan lamunannya di situ, dia terpinga melihat kakandanya.sebentar tadi bukankah, dia seakan marah terhadap Tia. ah, itu semua karut semata. Faham benar dia dengan sikap Sia. Rajuknya hanya sebentar cuma. Umpama teh suam dihirup sekali cuma. Tapi, hatinya tetap gusar.
"Kanda, mengapa ni? Sebentar tadi kanda lari tanpa bicara. Sekarang Tia lihat, kanda berseri-seri umpama bulan datang kepada pungguknya. Kanda baik-baik saja, kan?" Tia gamam melihat Sia yang sejak tadi tersipu senyumnya. "Ya Tia. Dia sudah pulang. Dia hadir dalam lena kanda sebentar tadi. Tia, harapan kanda berbunga. Tia, suami kanda akan pulang." bersungguh benar ujaran Sia. sambil jemarinya mengusap si kecil di dalam. Tia hanya memandang sepi. "kanda, itu hanya mimpi. Tidak semestinya mahu kanda berharap sebegini. Jangan kanda. Tia tidak mahu melihat kanda dalam igauan begini. Jangan...."
"Tia, kanda faham perasaanmu. kanda tidak marah kamu bicara begitu. Cukup dalam lena dia hampir kepada kanda. Sekurang-kurangnya kami sempat bermesra walau seketika. Tia, kanda pasti gemala sakti yang diberi nenda akan mengubati rindumu. Ya!"
Tia terpempan. Bagaimana kanda tahu akan nenda yang hadir dalam khayalnya itu. Dia bungkam. Entah mengapa, secoret kata tidak mahu terlontar keluar. Matanya hanya melihat Sia yang cuba bangkit dari duduknya, dalam senyum sukmanya. Sia sempat membelai wajah Tia dengan penuh kasihnya dan senyum lagi, "Ha, lain kali hati-hati sedikit siku tu, sakit perut kanda. Kasihan si kecil ini, mengadu sakit di dalam. Ingat, ya." Tia masih bungkam dan terpana. Kanda kasihnya berlalu meninggalkan kamar. "Kanda, bagaimana dinda boleh hidup tanpa kanda. Kanda sangat baik dan sabar. Terima kasih kanda. Maafkan dinda juga." Sedikit titis jernih air mata jatuh mengikut jalur pipinya. Tia dan Sia....

Chempaka Aizim said...

Sia menjauh mengikut angin mengalir ke arah balai penghadapan sedang Tia masih lagi keliru. bagaimana kekanda tahu walhal ia sekadar hadir dalam mimpi? kecamuk hati Tia bertalu-talu. Nenda muncul lagi di hadapan mata. Nenda.. sudahlah. jangan diganggu cucunda yang sedang walang, rontaan sukma Tia jelas tidak kedengaran. nenda tersenyum simpul. di tangannya tergenggam gemala sakti. tidak mungkin Tia bakal meragut batu itu. sudah Tia ikrarkan bahawa dia bahagia sebegini.
sedang diri bobrok di dalam ilusi sendiri, sang merpati muncul membawa nota di sisi kaki. debar, kecamuk bersatu dalam nubari. sang merpati putih dihampiri lalu dibukanya utusan kecil itu. 'hari-hari ini sunyi tanpa dinda menemani'.
Tia terduduk, terpaku. ah! bujukan dan harapan dihadiahkan lagi dari kanda kekasih. bosan Tia dengan situasi ini.. terus menagih namun kata putus tidak pernah didengari.
hanya mata basah Tia dengan linangan airmata sahaja yang menghantar merpati suci itu pergi, pergi mencari khabar yang baru untuk dikirim...

hasni Jamali said...

"Bonda, mari Sia tolong. Cantik sungguh tanaman di sini. Kembang dan harum. Banyak kumbang yang datang ya, bonda." Sia mencedok setempurung air di dalam bekas merah, namun perbuatannya lantas ditepis bonda.
"Sia, jangan susah-susah. Bonda boleh buat. Tubuh kamu tidak boleh letih, ingat tidak dahulu. Lagi pula Sia kan hamil. Sudah masuk ke dalam. Mana Tia?" "Bonda, shhh...usah dibicara perkara itu lagi. Hal dahulu sudah lama berlalu. Sia tak mahu hal itu diketahui Tia. Ingat ya bonda. hmm..Tia ada di kamarnya, bersama lamunan kasih. Entah apa lah nasib kami ya bonda. Ditinggalkan sebegini rupa." Sia mengeluh panjang. Bonda melirik pandang ke arah pondok kecil di tengah taman halaman. Duduklah mereka berdua di situ. "Sia, jangan kamu bersedih hati. Iya, bonda akui, dalam keadaan kamu sekarang, bonda faham, rindu dendam segalanya mencengkam diri. Nasihat bonda, bersabar dan banyakkan doa. Semoga suami kamu selamat dalam pelayarannya." Lembut tutur bonda. Sia aman. Namun sukmanya meronta pula tentang Tia, Bonda juga mungkin. Bonda sejak tadi melilau pandang ke sini sana. "Bonda cari Tia? Tia, ada di dalam, bersama nenda..." "Nenda!?" Nada bonda keras. Seperti merusuh sesuatu. "Eh..hmm, bukan nenda. Bonda salah dengar ya. err.." Sia gabra. Tidak sepatutnya kata-kata itu keluar dari mulutnya. Dia bungkam seketika. Pipinya merah. Mulutnya kumat-kamit seolah-olah mengucap sesuatu. "Sudahla, kamu ni Sia. Entah apa-apa mengomel. Bonda mahu ke dalam. Mari masuk. Tak elok berpanas di sini. Ah, hati-hati jalan tu." "Baik bonda." Hampir saja Sia melepaskan hal rahsia yang cukup besar buatnya. Nenda itu. Hanya dia yang tahu. Hasil kumat-kamitnya, bonda berjaya dialih perhatian. Sia mengekori dari belakang bonda sambil menelan air tengkoloknya yang sejak tadi getar tak menentu.
"Ha, Tia. Dari mana kamu? Mengapa sugul ni. Anak dara pagi-pagi begini tak baik muram. Mari ikut bonda memasak di dapur."
Tia.....

Chempaka Aizim said...

Tia akur kehendak bonda, permaisuri sejati di dalam hidupnya. walau mata masih tersisa basah kekeliruan, Tia meluncur mendapatkan kekanda saudaranya. Sia tersenyum manis. tahu benar bahawa neng saudaranya masih lagi di dalam keresahan. dicubanya memeriahkan suasana, namun bicara kalbu Tia menandingi segala yang berlaku di alam realitinya. bonda hanya meninjau gerak langkah puteri-puterinya dengan seribu tanda tanya. kata 'nenda' yang terbit dari mulut puteri sulung ibarat terlekat di batu jemalanya. siapa pula gerangan 'nenda'? jangan-jangan nenda Suya yang pernah menawarkannya gemala sakti untuk melihat suasana kekandanya yang terlebih dahulu menembusi alam kayangan? ah! tidak mungkin. Nenda kebayan itu hanya muncul dalam mimpinya sahaja. namun jika benar itu adalah nenda Suya, mengapa beriya benar nenda Suya mahu menolong familinya? Tia yang menyedari bonda terlalu jauh di alam kayangan, mencium lembut pipi permaisuri istana kaca itu. bonda tersedar, lamunannya terhenti. ditatapnya mata Tia. ada kesan basah. mata basah itu juga miliknya tika kekanda suami pulang ke kayangan dahulu darinya. atau mungkin puterinya juga di dalam kecamuk perasaan, umpama dirinya beberapa tahun yang lalu. Sia yang di belakang kedua buah hatinya hanya memandang sayu. Sia membaca hati mereka. Gemala sakti....

syed_saiful said...

nanti saya fikirkan cerita ini ya...

Mawar said...

Hasni dan Uyaisha,
hey, alihkan dalam words. nanti saya baca...